Tangkap layar menunjukkan kumpulan penyokong Penang FC dan Kedah FC bergaduh tidak jauh dari stadium Bandaraya selepas perlawanan selesai.

GEORGE TOWN – Perlawanan Liga Super antara Penang FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Bandaraya di sini, malam tadi dicemari dengan insiden pergaduhan.

Pergaduhan membabitkan kumpulan penyokong dua negeri berkenaan berlaku selepas perlawanan berakhir.

Mereka dikatakan bergaduh di pekarangan sebuah stesen minyak yang terletak kira-kira 500 meter dari stadium.

Berdasarkan satu video tular berdurasi satu minit 42 saat itu, penyokong kedua-dua pihak dilihat mengeluarkan kata-kata provokasi.

Sehingga pada satu peringkat,  tercetus pergaduhan sebelum masing-masing bertindak membaling objek dipercayai botol minuman.

Keadaan menjadi tenang selepas pihak polis hadir di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong mengesahkan insiden tersebut dan akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu. – MalaysiaGazette