JOHOR BAHRU – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan pihaknya tidak ada menawarkan manifesto khusus untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) di Johor yang akan diadakan pada 9 September ini.
PN bagaimanapun akan lebih menumpukan isu-isu khusus yang dialami rakyat Johor misalnya dalam kemiskinan dan kos sara hidup.
“PN kali ini tiada manifesto khusus. Saya bagi kita akan cuba kurangkan masalah kemiskinan di Johor kerana Johor masih berdepan dengan masalah kemiskinan. Itu fokus yang kita akan buat untuk menangani masalah kemiskinan. Komitmen kita menolong rakyat yang miskin itu menjadi keutamaan. Ini saya katakan contoh.
“Jadi untuk PRK kali ini kami (PN) memang tiada tetapkan apa-apa manifesto,” katanya selepas mengumumkan calon PRK Parlimen Pulai dan calon DUN Simpang Jeram
Sebelum itu, Muhyiddin telah mengumumkan pakar perunding vaskular dan pakar bedah endovaskular, Prof Madya Dr Mohd Mazri Yahya dan ahli perniagaan Zulkifli Jaafar sebagai calon PN bagi PRK di DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai.
Beliau berkata, pemilihan kedua-duanya dimuktamadkan setelah mengambil kira semua faktor dan pandangan parti-parti dalam PN yang telah bermesyuarat sebelum ini.
“Kedua-dua parti, Bersatu dan Pas, ada jawatankuasa yang membuat penilaian berdasarkan beberapa kriteria seperti kelayakan, pengalaman, sifat, kegiatan dan lain-lain lagi.
“Ia bukan diputuskan seorang, Pas ada sistem, Bersatu ada sistem, selepas bahagian dan kawasan telah menamakan beberapa nama yang sesuai, kita hanya putuskan seorang bagi kawasan yang ditandingi,” kata Presiden Bersatu itu.
Katanya lagi, Dr Mohd Mazri dan Zulkifli juga adalah pemimpin kawasan serta calon-calon yang berwibawa, berintegriti dan tiada penglibatan dalam rasuah. – MalaysiaGazette