KUALA LUMPUR – Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mencatatkan kejayaan selepas 10 tahun pelaksanaannya.
Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, hakikat kejayaan inisiatif di bawah Pelan Transformasi Negara itu diakui sendiri oleh Kementerian Pendidikan.
Menurut beliau, berjuta-juta murid dan guru telah menerima manfaat yang besar biarpun ia dibantah pembangkang ketika itu.
“Ini adalah satu kejayaan jangka masa panjang yang amat besar dan sangat signifikan bagi negara sekali gus membuktikan sekali lagi bahawa negara berada di landasan yang betul di bawah Pelan Transformasi Negara ketika Najib menjadi Perdana Menteri,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan semalam berkata, setiap laporan tahunan PPPM dari 2013 menunjukkan pencapaian transformasi yang telah muncul sepanjang sedekad yang lalu.
Jelas kementerian itu, daripada peningkatan prestasi pelajar dan latihan guru yang dipertingkatkan kepada penyepaduan teknologi dalam bilik darjah, laporan tersebut menggariskan impak PPPM itu terhadap pendidikan di semua peringkat.
PPPM 2013-2025 yang bertujuan menangani segala kelemahan dalam sistem pendidikan negara serta melonjakkan kecemerlangan dalam kalangan guru dan pelajar dilancarkan oleh Najib pada 12 September 2012. – MalaysiaGazette