Gambar Hiasan

JOHOR BAHRU – Sebanyak 22 borang penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram sudah dijual setakat semalam.

Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kesemua borang berkenaan dibeli oleh parti Amanah, Pas, Perikatan Nasional (PN) dan calon bebas.

“Bagi DUN Simpang Jeram, tiga set (borang penamaan calon) dibeli Amanah, PAS (dua), PN (lima) dan Bebas (satu), manakala bagi Parlimen Pulai, PN membeli lima set, Amanah (empat) dan Bebas (dua),” menurut kenyataan itu di sini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Indera Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan berasingan hari ini berkata pada hari penamaan calon ditetapkan Sabtu ini, kertas penamaan calon hendaklah diserahkan kepada Pegawai Pengurus di pusat penamaan calon (PPC) dari 9 pagi hingga 10 pagi.

Beliau berkata PPC bagi Parlimen Pulai adalah di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini, manakala PPC bagi DUN Simpang Jeram ditetapkan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar.

“Bagi melancarkan proses penamaan calon, SPR menyarankan kepada bakal calon yang ingin bertanding pada PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram agar mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor sebelum hari penamaan calon,” katanya.

Selain itu, bakal calon juga disaran untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran itu hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti pembayaran, kata beliau.

“Bagi bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan untuk mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila membuat penyerahan kertas penamaan calon,” kata Ikmalrudin.

Beliau juga mengingatkan, setiap bakal calon hanya dibenarkan diiringi seorang pencadang dan seorang penyokong calon untuk memasuki PPC, selain penggunaan semua jenis alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa cara termasuk menerusi penggunaan apa jenis kenderaan tidak dibenarkan pada hari penamaan calon kerana ia satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Orang awam serta penyokong yang mengiringi calon pula dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan PPC ditetapkan.

Selain itu, calon yang membayar deposit bahan kempen pilihan raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, juga tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan mempamerkan dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi gambar calon, lambang/simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan atau komponen secara bersama atau berasingan yang diwakilinya.

“SPR menyeru kepada bakal calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan dikeluarkan SPR, Polis Diraja Malaysia dan PBT bagi memastikan proses penamaan calon dapat berjalan dengan baik dan lancar,” kata Ikmalrudin.

Kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kosong susulan kematian penyandangnya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

SPR menetapkan tarikh penamaan calon kedua-dua PRK pada 26 Ogos, pengundian awal 5 Sept dan hari pengundian pada 9 Sept. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast