Kira-kira 3,000 Jalur Gemilang dihiasi sekitar kawasan perumahan Flat Kampung Melayu, Air Itam, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Inisiatif penduduk Flat Kampung Melayu mengibarkan 3,000 helai Jalur Gemilang di kawasan perumahan itu bukan sahaja berjaya memupuk semangat patriotisme, tetapi berjaya mengimbau semula suasana memasang bendera era 90-an.

Ia kerana kerja-kerja pemasangan Jalur Gemilang ini dilakukan secara gotong-royong membabitkan penduduk flat berkenaan yang terdiri daripada anak muda serta golongan dewasa.

Orang awam tidak melepaskan peluang untuk berswafoto susulan ribuan Jalur Gemilang dipasang sekitar Flat Kampung Melayu.

Rata-rata ketika ditemui meluahkan rasa teruja selain tidak mahu melepaskan peluang untuk bersama-sama menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan yang semakin dilupakan oleh generasi baharu.

Muhammad Danial.

Menurut Muhammad Danial Ramli, 21, dia terlibat dalam aktiviti pemasangan Jalur Gemilang sejak berusia 10 tahun dan aktiviti itu diteruskan sehingga kini bagi merasai suasana perpaduan sesama jiran berlainan bangsa.

“Apabila dimaklumkan pemasangan bendera akan dilakukan, saya dan rakan-rakan mula berkumpul seawal jam 8 pagi.

“Setakat ini kami sudah pasangan 1,000 Jalur Gemilang dan kelelahan ketika melakukan aktiviti itu tidak dirasai kerana ada pak cik-pak cik akan berkongsikan pengalaman mereka ketika sebelum Merdeka sebagai iktibar buat anak muda seperti kami.

“Lebih seronok apabila semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa akan menghulurkan bantuan sekali gus memberi erti kata sebenar mengenai kemerdekaan yang dikecapi negara,” katanya ketika ditemui hari ini.

Abraham.

Bagi M. Abraham, 63, suasana pemasangan bendera Malaysia di kawasan perumahan itu mengimbau kenangan beliau era 90an memandangkan tidak semua kawasan perumahan mengamalkan konsep perpaduan sebegini.

“Orang zaman sekarang tak bersemangat raikan Hari Kebangsaan, ramai lebih suka hari itu hanya kerana mahu menikmati cuti umum.

“Bila lihat penduduk Flat Kampung Melayu ambil inisiatif ini, saya rasa sebak kerana ia mengimbau suasana ketika saya remaja serta pengorbanan perwira kita untuk kecapi kemerdekaan.

Dua poster Hari Kebangsaan berukuran 18 meter turut digantung di bahagian atas Flat berkenaan.

“Malah, melalui aktiviti pemasangan bendera sebegini kita juga dapat terapkan semangat patriotik dalam kalangan anak muda serta cara pemasangan bendera yang betul,” katanya.

Sementara itu, ahli perniagaan, Datuk Seri Salim Abdul Rahman, 54, berkata, usaha mengibarkan Jalur Gemilang itu dilakukan bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan anak muda.

Salim.

“Ramai anak muda khususnya lupa akan pergorbanan pejuang-pejuang serta erti kemerdekaan yang kita kecapi.

“Sehubungan itu, saya ambil inisiatif edarkan bendera kepada penduduk Flat Kampung Melayu sekali gus gotong-royong bersama penduduk untuk pemasangannya,” kata beliau.

Selain 3,000 Jalur Gemilang, penduduk juga menggantungkan dua poster Hari Kebangsaan berukuran 18 meter di kawasan flat tersebut. – MalaysiaGazette