KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan syarikat jam tangan, Swatch Malaysia untuk memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap Kerajaan Malaysia.
Ini berikutan tindakan kerajaan merampas 172 jam tangan jenama itu, termasuk siri Pride Collection.
Hakim, Datuk Amarjeet Singh, membuat keputusan berkenaan selepas peguam bela Swatch, Nizam Bashir memaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak membantah permohonan itu.
“Mahkamah membenarkan permohonan berkenaan,” kata hakim ketika prosiding pagi ini.
Turut hadir, Peguam Kanan Persekutuan mewakili AGC, Farah Shuhada Ramli.
Swatch Malaysia sebelum ini menerusi Tetuan Nizam Bashir & Associates memfailkan permohonan terbabit dengan menamakan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan KDN, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan selaku responden pertama hingga keempat.
Sebutan kes ditetapkan pada 6 September depan.
Untuk makluman, Swatch mendakwa rampasan dan sitaan itu tidak sah kerana jam tangan bukan sebuah ‘penerbitan’ yang boleh dilarang dalam Akta Mesin Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.
Istilah penerbitan merujuk kepada untuk dokumen, surat khabar, buku atau sebarang bahan dalam bentuk bercetak berdasarkan akta itu.
Swatch juga mendakwa tindakan responden dilakukan atas motif politik yang tidak wajar kerana ketika itu negara sudah hampir untuk mengadakan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri.
Dakwa syarikat itu, tindakan menteri cuba mencari pengiktirafan Islam bagi tujuan politik kononnya jam tangan mempromosikan apa-apa gejala seksual, namun hanyalah ekspresi menyeronokkan mengenai keamanan dan cinta.
Jam tangan daripada reka bentuk 2023 adalah satu daripada enam warna pelangi dan hanya kelihatan di sebahagian kecil gelung jam berkenaan.
Pemohon menuntut satu perintah certiorari dan mandamus untuk membatalkan notis penyitaan dan mengembalikan jam tangan berkenaan serta ganti rugi yang dianggarkan RM64,795.
KDN menyerbu 11 butik jam tangan jenama Swatch di beberapa negeri dan merampas koleksi bertemakan pelangi yang sering dikaitkan dengan LGBT pada 13 Mei lalu.
Serbuan selama dua hari diadakan di butik Swatch yang terletak di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur, One Utama, Sunway Pyramid, Setia City Mall, Mid Valley Megamall, Southkey, Sunway Putra Mall, Sogo KL, Queensbay, Fahrenheit 88 dan Suria Sabah.
Lima lagi butik diberi amaran iaitu di Kuala Terengganu City Centre, AEON Kota Bharu, Aman Central Kedah, City Square dan Viva City Kuching. – MalaysiaGazette