PETALING JAYA- Sebuah syarikat pembekalan babi didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan memiliki 24,700 kilogram bangkai babi yang tidak disembelih di rumah penyembelihan yang dilesenkan pada Mei lalu.
Majistret Farah Azura Mohd Saad menjatuhkan hukuman itu terhadap syarikat Cergas Utama Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya, Chong Kean Chi,37, selepas dia selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Malah, mahkamah turut memerintahkan waran levi dikeluarkan sekiranya syarikat tersebut gagal membayar denda yang dikenakan itu.
Mengikut kertas pertuduhannya, syarikat itu didakwa memiliki 24,700 kilogram bangkai babi yang tidak disembelih di rumah penyembelihan yang diluluskan dan melanggar peruntukan dibawah Kaedah 5(3), Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009.
OKS didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis yang terletak di Taman Industri Puchong pada jam 11.30 pagi, 10 Mei lalu.
Dia didakwa melakukan satu kesalahan mengikut Kaedah 17, Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 jika disabitkan kesalahannya.
Semasa proses pendakwaan berlangsung, Majistret Farah memberikan nasihat kepada Kean Chi supaya terlebih dahulu memeriksa dengan teliti haiwan yang dijual selain perlu mematuhi undang-undang ditetapkan.
Kean Chi yang mendengar nasihat itu lantas menjawab kepada majistret, “Maaf..saya tidak tahu”.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor Mohd Sharif Sabran yang mengendalikan pendakwaan itu memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap OKS supaya ia dapat memberi pengajaran kepadanya dan pemain industri lain agar mematuhi undang-undang yang ditetapkan oleh veterinar.
“Sekiranya, tiada perakuan daripada veterinar, kesihatan bangkai atau ternakan itu tidak dapat dipastikan, sumbernya tidak diketahui malah bangkai yang tidak mempunyai perakuan dari jabatan veterinar adalah tidak selamat untuk dimakan oleh manusia.
“Bangkai babi yang tidak mempunyai perakuan jabatan veterinar akan berisiko menyebabkan berlakunya jangkitan demam babi Afrika yang boleh memberikan risiko kepada haiwan ternakan lain.
“Iia boleh menjejaskan industri (pembekalan) babi kerana haiwan itu akan dilupuskan serta memberi kesan kepada ekonomi negara,” katanya.
Sementara itu, peguam bela Goh Rhen-Jeat yang mewakili syarikat itu merayu kepada mahkamah agar suatu bentuk hukuman denda yang ringan dengan alasan anak guamnya telah mengalami kerugiaan yang tinggi.
“Kesalahan ini tidak melibatkan keselamatan dan kesihatan orang awam, selain ini merupakan kesalahan kali pertama yang dilakukan oleh anak guam saya mohon mahkamah menggunakan kebijaksanaan mempertimbangkannya,” kata Rhen Jeat.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian sepasukan penguatkuasa dari jabatan veterinar telah meninjau premis tersebut.
Hasil pemeriksaan dan siasatan mendapati terdapat bangkai babi yang dibalut dengan plastik lutsinar berwarna biru dan tidak mempunyai tanda pengenalan dari rumah penyembelihan yang diluluskan atau dilesenkan.-MalaysiaGazette