KUALA LUMPUR – Sekolah Perniagaan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM)
dengan kerjasama Asri Ahmad Academy (AAA) Sdn. Bhd. dan RHB Investment Bank
membangunkan Makmal Dagangan atau dikenali sebagai ‘Share Trading Lab Powered by
RHB Investment Bank’ bagi mendidik pelajar asas pelaburan saham dengan betul.
Dekan, SPE, UPM, Prof. Dr. Bany Ariffin Amin Noordin berkata, makmal tersebut akan
memberikan peluang kepada pelajar UPM untuk mempelajari secara ‘real time’ proses jual
beli saham melalui perisian yang dibekalkan oleh pihak RHB Investment Bank.
“Pembangunan makmal ini sekali gus dapat meningkatkan potensi dan kebolehpasaran
graduan dan membolehkan mereka mendapat pelbagai peluang pekerjaan dalam pasaran
modal,” katanya.
Selain itu, makmal dagangan ini akan menjadi permulaan perkongsian ilmu latihan praktikal dan teknikal bukan sahaja kepada pelajar malah kepada warga UPM.
“Dalam mendepani cabaran ekonomi pada masa kini pelajar dan warga UPM perlu sentiasa peka serta berfikiran kritis untuk meneroka segala peluang yang ada untuk menjana pendapatan bermula di universiti,” katanya.
Prof. Dr. Bany Ariffin berkata, pembangunan Share Trading Lab ini adalah inisiatif dan
cetusan idea Pengarah Urusan AAA Sdn. Bhd., Datuk Mohd Asri Ahmad yang merupakan
Mentor Pelaburan Saham Syariah di Malaysia.
“Penubuhan makmal ini juga selari dengan pencapaian akreditasi SPE UPM di peringkat
antarabangsa iaitu AACSB dan EQUIS yang mampu melonjakkan lagi nama SPE UPM di
peringkat global,” katanya.
Pelajar Bacelor Ekonomi dengan Kepujian (BE), SPE, UPM, Noorfaizah Zainal Abidin
berkata, beliau berharap agar makmal ini dapat melahirkan lagi graduan yang celik
pelaburan serta membentuk graduan yang kompetetif di pasaran kerjaya.
“Peluang untuk meneroka kemahiran teknikal ini sangat membantu graduan di luar sana
menjadi lebih resilien dan tidak hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata untuk
menyediakan pasaran kerja,” katanya.
Staf UPM, Muhamad Adib Mohammed berkata, dengan adanya makmal pelaburan di SPE,
ianya dapat memupuk kesedaran dan pendedahan yang lebih baik kepada pelajar dan
kakitangan tentang saham.
“Para pelajar dan staf kini boleh mempelajari kaedah pembelajaran berkenaan dengan
pelaburan secara interaktif dan hands-on serta boleh mengambil peluang untuk mempelajari ilmu pelaburan dan pengurusan kewangan,” katanya. – MalaysiaGazette