exco
Barisan Exco Kerajaan Negeri Sembilan yang baharu bersama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun selepas istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, hari ini. - Gambar: Ihsan Jabatan Penerangan Negeri Sembilan

KUALA PILAH – Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Barisan Nasional (BN) dan enam lagi dari Pakatan Harapan (PH) dilantik menganggotai barisan Exco Kerajaan Negeri Sembilan yang baharu.

Istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan kesemua 10 exco berkenaan disempurnakan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti di sini, hari ini.

ADUN Pertang merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dinamakan sebagai Exco Kanan.

Wakil-wakil rakyat BN yang lain ialah Datuk Ismail Lasim (Senaling), Datuk Mohd Faizal Ramli (Linggi) dan Mustapha Nagoor (Palong).

Mewakili PH, empat ADUN dari DAP dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Sembilan iaitu J Arul Kumar (Nilai), Nicole Tan Lee Koon (Bukit Kepayang), S Veerapan (Repah) dan Teo Kok Seong (Bahau).

Dua ADUN dari PKR pula ialah Noorzunita Begum Mohd lbrahim (Pilah) dan Tengku Zamrah Tengku Sulaiman (Ampangan).

Secara keseluruhan, enam exco pernah menyandang jawatan tersebut semasa era pentadbiran PH dan BN manakala empat lagi exco merupakan muka baharu.

ADUN Klawang, Datuk Bakri Sawir yang juga bekas Exco Pertanian dan Industri Asas Tani digugurkan pada penggal ini.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun selepas istiadat tersebut memberitahu, portfolio bagi setiap Exco akan dimuktamadkan selepas mesyuarat di Wisma Negeri, Seremban petang ini.

Menurut beliau, pelantikan Jalaluddin sebagai Exco Kanan juga mencatatkan sejarah kerana ia merupakan kali pertama jawatan itu diwujudkan secara rasmi dalam pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan.

Selain itu, katanya, sejarah juga dicipta apabila tiga ADUN wanita dilantik menjadi Exco sekali gus memenuhi sasaran untuk memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam barisan kepimpinan kerajaan negeri.

“Sesuatu yang baik harus menjadi teladan supaya kita tidak meminggirkan peranan wanita yang penting dan Negeri Sembilan adalah negeri pertama yang mampu melaksanakannya,” jelasnya.

ADUN Sikamat itu menambah, barisan Exco kali ini yang menggandingkan muka lama dan baharu diyakini mampu memastikan kelangsungan dan kejayaan Aspirasi Perpaduan.

“Saya berharap mereka dapat memenuhi harapan rakyat yang mahu melihat perubahan yang lebih baik di negeri ini,” katanya. – MalaysiaGazette