Seorang pengarah kilang kertas melecur dalam kebakaran yang berlaku di dua kilang perindustrian di Metro Prima Kepong pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki cedera selepas kilang di memproses kertas di Metro Prima, Kepong, di sini, terbakar.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Rozihan Anwar Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari orang awam yang memaklumkan mengenai  kejadian itu pada jam 10.13 pagi tadi.

“Bertindak atas maklumat itu, seramai 50 anggota dan pegawai bomba bersama lapan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang, BBP Gombak Selatan, BBP Sri Hartamas, BBP Wangsa Maju, BBP Hang Tuah dan BBP Selayang ke lokasi.

“Sejurus sampai di lokasi mendapati dua buah kilang iaitu sebuah kilang alat ganti motosikal dan kilang memproses kertas sedang terbakar dan api mara dengan kuat selain kepulan asap hitam tebal memenuhi ruang udara.

“Anggota bomba telah terlibat dalam usaha memadamkan kebakaran itu sebelum pemeriksaan di dalam kilang berjaya menyelamatkan seorang lelaki daripada kebakaran itu,” katanya kepada pemberita.

Tambah beliau, siasatan mendapati seorang lelaki berusia 45 tahun dipercayai pengarah kilang kertas terbakar itu melecur 10 peratus di kedua-dua pergelangan tangan.

Menurut Rohizan, mangsa telah dihantar ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan lanjut.

Katanya, dalam kejadian itu kilang alat ganti motosikal musnah sepenuhnya manakala kilang memproses kertas musnah 20 peratus.

Jels beliau, api berjaya dikawal daripada merebak ke bangunan kilang bersebelahan pada jam 12.36 tengah hari dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette