Jais Abdul Karim SPRM kad pengenalan MCW peguam negara kebocoran data peribadi
Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari didakwa memberi kenyataan bercanggah berhubung isu kebocoran data peribadi melibatkan peserta Skim Insurans Am Selangor (Insan).

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, Amirudin semalam menjelaskan bahawa data awam yang diperolehi dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digunakan untuk prapendaftaran sahaja.

Bagaimanapun, menurut beliau, maklumat peribadi termasuk nombor kad pengenalan pengundi jelas telah digunakan seperti yang tertera dalam sijil polisi Insan.

“MCW menggesa SPR segera mengeluarkan kenyataan bagi mengesahkan bahawa tiada sebarang pelanggaran terhadap mana-mana peraturan yang telah termaktub bagi memastikan penggunaan data adalah telus dan berintegriti atau sebaliknya.

“MCW khuatir perkara ini akan dijadikan duluan pada masa hadapan sekiranya ia tidak diperjelaskan segera,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jais mengulas mengenai isu kebocoran data peribadi berhubung pendaftaran Insan yang dibangkitkan oleh orang ramai sejak kelmarin yang hairan apabila nama mereka didaftarkan untuk skim tersebut sedangkan permohonan tidak dibuat.

Semalam, Amiruddin menolak dakwaan berlaku salah guna dan kebocoran data rakyat untuk pendaftaran Insan serta menafikan tuduhan kerajaan mendapatkan data peribadi peserta daripada syarikat insurans.

Jais turut mengingatkan bahawa data SPR hanya boleh digunakan dengan kebenaran bertulis daripada Yang di-Pertuan Agong sahaja.

Beliau memberitahu, dalam isu tersebut, terdapat kemungkinan berlaku pelanggaran terhadap peruntukan dalam Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan Seksyen 9 Akta SPR 1957 (Akta 31).

“Sebuah syarikat telah dilantik sebagai firma pengendali di mana Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI) hanya memegang ekuiti sebanyak 49 peratus.

“Justeru, data peribadi pengundi dan rakyat telah disalur ke entiti komersial yang berisiko disalah guna untuk tujuan komersial,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast