K. Raven Kumar (tengah ) ketika mengadakan lawatan ke lokasi kilang kebocoran gas di Pasir Gudang petang tadi.

PASIR GUDANG – Kualiti udara di kawasan sekitar kilang yang berlaku kebocoran gas, di sini, semalam berada pada paras normal.

Exco Pelancongan Alam Sekitar, Warissb dan Budaya Johor, K. Raven Kumar berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah meletakkan alat pengawasan kualiti udara di kawasan persekitaran bagi memantau kualiti udara dari masa ke masa.

“Ketika saya datang ke lokasi saya lihat pihak berkuasa (bomba) sedang menjalankan kerja-kerja ‘cooling’ diteruskan bagi mengawal suhu tindak balas kimia bahan yang terdapat di dalam tangki,” katanya selepas melawat kawasan di sekitar kilang tersebut, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan terdapat kebocoran bahan kimia Styrene Monomer selepas mendapat maklumat pencemaran bau di kawasan kilang dekat Pasir Gudang.

Hasil siasatan bomba mendapati berlaku kebocoran bahan kimia pada injap saluran bahan kimia yang berada di kilang itu.

Menurut Raven, polis memaklumkan tiada mangsa yang terkesan dalam kejadian tersebut.

Sementara itu Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Sarhan Akmal Mohamad berkata, peneriksaan mendapati kawasan sekeliling selamat dan lokaliti hanya berada di kawasan tangki yang mengalami kebocoran.

“Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menggunakan gasmet serta proses pemantauan suhu dibuat secara berkala iaitu dua jam bagi IPU dan 15 minit bagi pengambilan suhu.

Dalam pada itu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor turut memaklumkan tiada kes dirujuk atau dimasukkan ke hospital atau klinik kerajaan berdekatan.

“Namun JKN Johor meminta orang awam yang mengalami sebarang gejala akibat pencemaran kepada bahan kimia merujuk ke klinik kesihatan terdekat untuk rawatan,” katanya. – MalaysiaGazette