Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu. Foto MOHD ADZLAN 26 JUN 2023.

PUTRAJAYA – Para pengeluar, pemborong dan peruncit yang gagal mematuhi undang-undang yang ditetapkan dalam pemasaran dan penjualan benih padi dan bekalannya berisiko lesen mereka digantung oleh kerajaan.

Itu amaran tegas Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang memandang serius akan perihal isu-isu berbangkit mengenai harga dan juga bekalan benih padi sah di dalam pasaran.

KPKM dalam kenyataan hari ini menegaskan, bekalan benih padi sah hanya dikeluarkan oleh pengeluar benih padi sah yang dilantik oleh kerajaan.

“Ianya mempunyai mekanisma kawalan ke atas pengeluaran dan pemasaran benih padi sah sepertimana yang telah termaktub di dalam Perintah Tetap Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras Bilangan 1/2021: Kawalan Kerajaan Ke Atas Pengeluaran Dan Pemasaran Benih berkuatkuasa 11 November 2021.

“Oleh yang demikian, pengeluar atau pemborong hendaklah memastikan penjualan benih padi sah tidak melebihi daripada kuota yang telah diberikan dan harga yang dijual kepada peruncit tidak melebihi harga maksimum yang telah ditetapkan iaitu RM31 per kampit 20kg jualan benih di pintu kilang manakala harga maksimum RM32 per kampit 20kg termasuk pengangkutan,” kata kementerian dalam kenyataan di sini.

Tambahnya, bagi jualan benih padi sah pada peringkat runcit kepada pesawah hendaklah dijual tidak melebihi harga maksimum iaitu RM35 per kampit 20kg.

“Kegagalan untuk melaksanakan arahan ini dan mematuhi Akta Kawalan Padi dan
Beras 1994 [Akta 522], Kementerian melalui kuasa Ketua Pengarah Kawalselia Padi
dan Beras berhak untuk membatalkan atau menggantung setiap lesen yang telah
dikeluarkan kepada pengeluar, pemborong serta peruncit yang terlibat.

“Sebarang maklumat atau aduan berhubung isu berbangkit mengenai harga dan juga
bekalan benih padi sah di pasaran, orang ramai boleh mengemukakan aduan secara rasmi mengenai bekalan dan penjualan padi bersama butiran dan maklumat yang lengkap kepada Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

“Aduan boleh disalurkan menerusi Portal Aduan KPB : https://skpb.kpkm.gov.my/adu; E-mel Rasmi ([email protected]) atau dengan menghubungi talian Hotline Ibu Pejabat KPB Putrajaya di 03-88701751/1748/1183 untuk tindakan segera,” kata kenyataan itu lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast