Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di mahkamah pada hari pertama perbicaraan kes pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 24 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor didakwa telah mendepositkan berpuluh keping cek berjumlah lebih RM7 juta ke dalam akaun Affin Bank milik beliau antara Disember 2013 sehingga November 2018.

Wang itu merupakan bayaran untuk membayar bil-bil telefon dan kad kredit miliknya dan ahli-ahli keluarga Rosmah.

Bagaimanapun Rosmah yang didakwa menganggur selama tempoh tersebut tidak pernah melaporkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ini merupakan antara intipati pembukaan perbicaraan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib pada prosiding pengubahan wang haram dan elak cukai yang dihadapi Rosmah ketika ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi di sini, K Muniandy.

Cek-cek telah didepositkan dengan bantuan Pengurus Kediaman Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, Roslan Sohari.

Ketika ini Rosmah sedang berdepan dakwaan atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN pada 4 Oktober 2018.

Pada 1 September 2022, Hakim Mohamed Zaini Mazlan, mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta kepada Rosmah.

Selain itu mahkamah juga telah memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Pada masa sama, Mohamed Zaini telah membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast