Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di mahkamah bagi hari pertama perbicaraan kes pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 24 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai bank telah mengesahkan kepada Mahkamah Tinggi hari ini, mengenai transaksi wang tunai RM1.098 juta ke akaun bernombor terakhir 0058 menggunakan mesin deposit wang (CDM) di lima cawangan bank itu, antara 13 Oktober 2014 dan 8 Jun 2017.

Nor Ashikin Abdullah, 58, Penolong Pengurus Perkhidmatan Mesin Wang Pengeluaran Automatik (ATM) dan Sokongan Affin Bank mengesahkan telah menerima permohonan daripada unit pengubahan wang haram Affin Bank pada 9 November 2018  bagi mendapatkan maklumat rekod transaksi deposit wang tunai ke akaun CDM.

“Kemudian, saya mencetak satu laporan transaksi deposit wang tunai menggunakan CDM bagi akaun 0058 daripada rekod elektronik dengan menggunakan komputer di pejabat sebelum serahkan penyata itu kepada pegawai SPRM,” katanya ketika membaca penyataan saksi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy.

Sebelum ini, ketika prosiding, Muniandy telah menolak permohonan pihak pendakwaan bagi menangguhkan perbicaraan kes membabitkan Rosmah yang sudah tertangguh sejak 2018 lagi.

Saksi kedua pula, Faizal Shamsuddin mendedahkan pernah membantu Pengurus Kediaman Kompleks Seri Perdana, Putrajaya ketika itu, Roslan Sohari, mengikut arahan untuk mendepositkan wang tunai ke dalam akaun Affin Bank milik Rosmah.

Faizal bekas Pegawai Pengurusan Operasi di Bahagian Pengurusan dan Operasi Kompleks Seri Perdana mendakwa, Roslan menyerahkan satu sampul surat berisi wang kepadanya dan nombor akaun bank Rosmah dicatatkan pada sampul surat itu.

“Roslan minta saya menyerahkan sampul surat berisi wang tunai kepada pegawai di Affin Bank untuk menguruskan deposit berkenaan. Saya serahkan sampul kepada seorang pegawai perempuan di cawangan Bangunan Getah Asli.

“Wang itu kemudian didepositkan ke dalam akaun bank Rosmah,” katanya ketika memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan.

Mahkamah telah menangguhkan prosiding ke 7 September depan.

Ketika ini Rosmah sedang berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) antara 2013 dan 2018. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast