KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, diberitahu bahawa hampir semua masjid serta surau di Bagan Datuk, Perak mendapat sumbangan daripada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Bekas Pengerusi Masjid Seri Perkasa, Kampung Seri Perkasa, Hutan Melintang, Atan Sampol berkata, Ahmad Zahid sentiasa menjaga kebajikan masyarakat setempat terutama anak yatim dan orang susah.
Katanya, keseluruhan penduduk Bagan Datuk mengenali Ahmad Zahid sebagai seorang pemurah dan dermawan.
“Beliau telah membiayai 100 peratus kos dan memberi sumbangan bagi pembinaan Masjid Seri Perkasa yang menelan belanja hampir RM600,000.
“Masjid ini sebelumnya adalah surau yang sudah lama dan uzur, oleh itu surau ini dibaik pulih dan dinaik taraf pembinaannya kepada sebuah masjid.
“Dalam tempoh ia dinaik taraf kepada masjid, kesemua jemaah dan qariah menumpang di Surau Kebun Baru,” katanya saksi ke-14 pada prosiding, hari ini.
Sebelum ini, Ahmad Zahid diperintah membela diri atas 47 pertuduhan membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Menurut Atan, Ahmad Zahid juga Timbalan Perdana Menteri menyumbang RM30,000 untuk kebajikan surau berkenaan.
“Bayaran bagi pembinaan Masjid Seri Perkasa ini dibayar terus kepada kontraktor iaitu arwah Haji Sanusi yang meninggal dunia pada 2015 akibat penyakit kanser,” ujarnya.
Saksi pembelaan sebelum itu, seorang penyelia projek, Marlin Ahmad memberitahu mahkamah bahawa Ahmad Zahid mula menyumbang di Bagan Datuk sejak 1999.
“Projek dilaksanakan syarikat kontraktor, Sutida Enterprise menerima sumbangan Ahmad Zahid untuk Rumah Anak Yatim Hamidiyah dengan kos RM1.14 juta.
“Juga Masjid Seri Perkasa (RM600,000), Surau Kampung Parit 25 Darat (RM50,000), Dewan Hajah Tuminah (RM450,000) dan pembinaan Sekolah Menengah Imtiaz Tuminah Hamidi di Bagan Datuk,” katanya.
Saksi ke-13 pembelaan itu berkata, Ahmad Zahid tidak suka sumbangannya diketahui pihak lain dan kontraktor pula tidak pernah membina notis atau papan yang menunjukkan sesebuah projek adalah daripada sumbangan beliau.
Selain itu, katanya, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sentiasa menepati janji dan menjelaskan setiap bayaran kepada syarikat kontraktor yang melaksanakan projek pembangunan di kawasan tersebut.
Seorang lagi saksi, Pengerusi Surau An Nur Parit 25 Darat di Bagan Datuk, Mokhtar Tukol berkata, sepanjang mengenali Ahmad Zahid lebih 35 tahun, beliau seorang yang pemurah dan menyumbang bagi tujuan kebaikan.
Tambah beliau, Ahmad Zahid pernah menyatakan bahawa beliau akan memberikan sumbangan sebagai saham akhirat apabila berkemampuan dan mempunyai peluang untuk berbuat demikian.
Perbicaraan bersambung di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah pada 4 September ini. – MalaysiaGazette