Seorang muslim yang dikatakan membaca doa dalam sebuah majlis keagamaan penganut bukan Islam.- Gambar tular.

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) minta pihak berkuasa agama menyiasat kes seorang lelaki muslim membaca doa pada satu majlis anjuran bukan Islam di ibu kota baru-baru ini.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam Putra, Datuk Dr. Mohammad Fairus Khairuddin berkata, sekiranya benar, perbuatan itu merupakan kebiadaban yang sama sekali tidak boleh diterima kerana melakukan pelanggaran nyata terhadap batasan syariat Islam.

“Umat Islam di Malaysia dipaparkan sekali lagi dengan sesuatu yang mengejutkan iaitu dalam satu majlis keagamaan Hindu apabila adanya seorang muslim kelihatan membacakan doa untuk majlis tersebut.

“Perkara sedemikian sama sekali tidak boleh diterima, dilarang dan ditegah di sisi agama Islam.

“Dalam syariat Islam telah jelas ditegah sama sekali seorang muslim meraikan perayaan atau sambutan bersifat keagamaan kerpercayaan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beberapa hari lalu, tular satu rakaman video berdurasi 56 minit 58 saat yang disiarkan secara langsung menerusi Youtube, dipercayai dari sebuah parti politik bukan Melayu, Islam.

Rakaman itu menunjukkan seorang muslim (bukan Melayu) memulakan doa dengan membaca surah Al-Fatihah kemudian diikuti bacaan yang diselang seli dalam bahasa Arab dan Tamil.

Doa itu dibaca selama lima minit 28 saat dengan diakhiri lafaz salam.

Dr. Mohammad Fairus

Menurut Mohammad Fairus, Islam melarang penglibatan langsung seorang muslim membacakan doa dalam majlis agama lain seolah meredai upacara dan ritual kepercayaan mereka.

“Sesungguhnya ini suatu yang amat dilarang dan ditegah oleh Islam. Telah amat nyata sikap sedemikian adalah natijah daripada fahaman songsang dan kufur di kalangan umat Islam iaitu pluralisme agama.

“Demikianlah bahayanya fahaman sesat liberalisme dan fahaman kufur pluralisme agama yang membawa pelbagai kemudaratan terhadap kesucian dan keluhuran syariat Islam,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyifatkan kebelakangan ini semakin jelas rakyat didedahkan dengan episod kedurjanaan akhlak dan keruntuhan adab serta tatasusila keIslaman yang dicabar oleh pelbagai pihak.

Katanya, ia berkaitan dengan tindakan seorang peguam wanita, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid yang baru-baru ini tulisannya mengenai beliau mengimamkan solat kepada suami dan anak lelakinya tular di sebuah portal atas talian.

Jelas Mohammad Fairus yang juga Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra, walaupun kes itu berlaku tahun 2017 ketika peguam itu berada di luar negara, tetapi penyiaran tulisan itu telah mengundang kemarahan umat Islam.

“Terbaharu masyarakat Malaysia didedahkan dengan sebuah penulisan Nik Elin Zurina yang semakin menggila dengan pendedahan sikap onarnya sendiri melanggar batasan syariat Islam.

“Dalam tulisan itu, beliau mengakui menjadi imam solat kepada suami dan anak lelakinya dan saranan mungkarnya membantah kewajipan menutup aurat iaitu berkaitan pemakaian tudung oleh wanita muslim.

“Nampaknya semakin parah sikap derhaka dan pelanggaran terhadap syariat Islam oleh Nik Elin. Sikap onar dan perlakuan melanggar syariat Islam seperti ini tidak boleh lagi dikompromi,” katanya.

Beliau menggesa pihak berkuasa agama Islam bertindak terhadap individu berkenaan yang membawa perlakuan mencerminkan manifestasi fahaman sesat liberalisme dalam beragama.

Umat Islam di Malaysia, katanya, tidak harus dibiar melakukan sewenang-wenangnya perlakuan sumbang dan sesat yang melanggar batasan serta pedoman syarak.

Mengenai ada pihak membantah pelaksanaan modul 40 Hadis Imam Al-Nawawi di sekolah, Timbalan Ketua Penyelaras Putra Selangor itu menegaskan, ia merupakan fenomena kebiadaban segelintir bukan Islam melanggar batasan adab dan mencabar kedaulatan agama Islam di negara ini.

Katanya, modul itu dilaksanakan khusus di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

“Kita juga yakin sekiranya dilaksanakan di sekolah kebangsaan biasa tentunya ia akan dilaksanakan untuk pelajar Islam khusus dalam peruntukan masa untuk subjek Pendidikan Islam.

“Namun jika mahu dijadikan subjek untuk semua pelajar juga tidak menjadi masalah dan ia harus dihormati kerana Malaysia ini adalah sebuah negara Islam.

Justeru, beliau mengingatkan orang bukan Islam tidak perlu melatah atau membantah sesuka hati kerana perbuatan itu membawa konotasi kebiadaban yang nyata terhadap kedaulatan syiar Islam di Malaysia. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. cabaran demi cabaran dgn kebiadapan melampau dari bukan Islam adalah rujukan kepada kebodohan alim ulama, badan keutamaan dan parti politik yg konon nya berteraskan Islam tetapi tidak menjalankan tanggungjawab mengikut syariat muslim..lebih banyak merosakkan dan menyeleweng serta serangan keatas penganut Islam sahaja dari mempertahankan nya.

  2. era MADANI MUNAFIK..kesinambungan P AKATAN H ancing 22 bulan…LGBT DIIKTIRAF…Mujahid YUSUF RAWA TIDAK DIBENARKAN geladah sarang maksiat selepas 12 malam DEMI PRIVASI…ARAK FEST…KONSERT LGBT bulan lepas….joget gila2 DI PERAK….JOGET SEPARUH BOGEL Bkt Bintang…BACA DOA DIKUIL KELING…zakat orang KAFIR boleh terima Bendera dterbalik dan lagu negaraku di ubah..DI BAWAH ANWAR MUNAFIK 2012 sambut MERDEKA DENGAN LOGO SENDIRI….ABU KOMUNIS DIPUJA….yg pejruang Malaysian Malaysia dapat TAN SRI…..Dan seribu satu macam lagi termasuk MUNGKIR JANJI dan LANGGAR SUMPAH

Comments are closed.