PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan perbicaraan 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) yang sedang berjalan ketika ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan dan Presiden UMNO sedang berdepan dengan dakwaan telah menyeleweng dana 1MDB bernilai RM2.3 bilion.
Najib yang kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas dijatuhkan hukuman kerana menyeleweng dana SRC International bernilai RM42 juta memohon untuk menggantung bicara sementara rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan supaya Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes 1MDB diputuskan Mahkamah Rayuan.
Hari ini, tiga panel hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk SM Komathy Suppiah sebulat suara menolak permohonan Najib selepas mendapati ia tidak mempunyai sebarang merit.
Hadhariah memutuskan mahkamah bersetuju dengan hujahan pendakwaan bahawa tiada keadaan istimewa yang membolehkan mahkamah membenarkan prosiding kes itu digantung ketika ini yang sudah melalui perbicaraan 173 hari.
“Tidak ada merit atau keistimewaan untuk mahkamah menerima permohonan penangguhan ini. Dengan ini, kita sebulat suara menolak permohonan,” katanya dalam keputusan ringkas.
Sementara itu, wartawan MalaysiaGazette yang turut berada dalam bilik bicara pagi ini melihat Tan Sri Muhammad Shafee menghampiri Najib yang berpakaian kelabu dan kelihatan tenang.
Kata Muhammad Shafee; “ini memang sudah dijangka. Tidak apa kita lawan,” katanya.
Najib yang tenang sambil senyum mengangguk sambil sempat bersalam dengan beberapa penyokongnya yang hadir.
Najib sebelum ini memohon Sequerah menarik diri dengan alasan berlakunya konflik kepentingan susulan pendedahan hakim berkenaan bahawa beliau dan bekas peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan pernah menjadi rakan kongsi di firma Zain & Co ketika menjadi peguam 10 hingga 15 tahun lalu.
Dalam prosiding pada 26 Julai lalu, Collin mendedahkan Jasmine pernah menjadi rakan di firma Zain & Co ketika antara 10 hingga 15 tahun lalu.
Perkara itu didedahkan Collin selepas Muhammad Shafee ingin mendapatkan pengesahan sama ada Jasmine akan dipanggil sebagai saksi pendakwaan.
Pada 7 Julai lalu, Jasmine yang juga sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, ditahan polis bagi membantu siasatan isu penyelewengan dana 1MDB.
Dalam pada itu, ketika prosiding hari ini, pendakwaan juga mendedahkan pihaknya belum ada sebarang status sama ada akan memanggil Jasmine sebagai saksi dalam perbicaraan 1MDB ketika ini. – MalaysiaGazette