NIBONG TEBAL – Akademi Kecemerlangan MARA di Jawi di sini kini dilengkapi kemudahan sukan moden selepas padang bola sepak sintetik bernilai RM400,000 siap sepenuhnya.
Kemudahan itu diuruskan Pengasas Akademi Bola Sepak Wira Muda (ABSWM), Shaik Awish Alkirani Shaik Haronarashib bagi menarik perhatian orang ramai khusus dalam kalangan peminat sukan bola sepak.
Selain itu padang bola sintetik yang berkeluasan kira-kira 0.8 hektar itu juga merupakan kemudahan sukan moden pertama yang ada di daerah Jawi.
Timbalan Ketua Pengarah MARA (Keusahawanan), Datuk Zulfikri Osman berkata, kerjasama antara MARA dengan ABSWM berjaya mewujudkan satu kemudahan oleh bakat-bakat muda dalam bola sepak.
Jelas beliau, tanpa usaha Shaik Asiah Alkirani padang bola sintetik itu tidak mungkin dapat direalisasikan.
“Ini merupakan satu sejarah yang mana padang bola sintetik diwujudkan dalam akademi MARA khususnya di daerah Jawi ini.
“Saya rasa teruja melihat kesungguhan ABSWM melatih anak-anak kecil kita seusia 12 tahun ke bawah bagi menguasai permainan bola sepak.
“Saya juga berharap kerjasama seperti ini dapat diteruskan bukan saja organisasi sukan dengan MARA bahkan agensi-agensi lain,” katanya selepas merasmikan padang bola sintetik itu.
Hadir sama Pengarah MARA Pulau Pinang, Norsiden Ahmad.
Tambah Zulfikri, beliau juga berharap dengan adanya padang bola sintetik itu dapat membantu ABSWM melahirkan lebih ramai bintang bola sepak baharu dari akademi berkenaan.
Sementara itu, Shaik Awish Alkirani berkata, minat mendalam dalam bidang sukan membuatkan dirinya tekad untuk mewujudkan padang bola sintetik tersebut.
Jelasnya, impian itu terlaksana dengan kerjasama pihak MARA menerusi konsep pajakan padang dalam akademi neraka yang membolehkan dirinya menawarkan perkhidmatan melatih bakat baharu dalam sukan bola sepak.
“Terima kasih kepada pihak MARA kerana menyokong pembangunan ABSWM dan hasil daripada sokongan itu membuatkan kita dapat melahirkan serta mencungkil bakat-bakat baru dalam bola sepak.
“Saya juga berharap kerjasama ABSWM dengan MARA akan berkekalan sekali gus dapat memajukan sukan bukan saja di peringkat negeri bahkan di peringkat antarabangsa,” katanya.
Padang bola sintetik itu baharu mula beroperasi dua minggu lalu dan ia juga dibuka kepada orang awam dengan kadar sewaan tertentu. – MalaysiaGazette