Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen hari ini menolak permohonan seorang pengarah syarikat untuk membatalkan pertuduhan menawarkan suapan RM500,000 setahun selama 15 tahun bagi faedah Tan Sri Annuar Musa berhubung proses pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur.

Hakim Suzana Hussin menolak permohonan Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, 49, pengarah Hydroshoppe Sdn Bhd selepas meneliti dan mendengar hujahan pendakwaan dan pembelaan.

Pada 31 Mei lepas, Abdul Hamid Shaikh memfailkan permohonan itu atas alasan pertuduhan terhadapnya di bawah Seksyen 16 (b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 adalah cacat selain tidak berasas, kerana tidak menyatakan butiran penting dalam pertuduhan iaitu tarikh spesifik bagi kesalahan.

Terdahulu, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili tertuduh memaklumkan anak guamnya berhasrat untuk memohon mendapatkan pelepasan sementara pasportnya, bagi menghantar anak beliau melanjutkan pelajaran ke United Kingdom (UK) dan urusan perniagaan di Amerika Syarikat.

“Beliau perlu berada di UK pada 12 Sept ini dan urusan kerja di Amerika Syarikat pada 1 Okt. Sekiranya permohonan untuk mendapatkan pasport beliau dibenarkan, saya mohon kehadiran anak guam saya dikecualikan pada tarikh sebutan seterusnya,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mahadi Abdul Jumaat berkata pihak pembelaan perlu memfailkan notis permohonan dan afidavit sokongan untuk menyokong permohonan pelepasan sementara pasport.

“Kami perlu teliti tarikh dan alasan permohonan sebelum membuat keputusan untuk membantah atau tidak kerana tempoh ke luar negara agak panjang,” katanya.

Mahkamah mengarahkan tertuduh memfailkan permohonan berhubung pasport dan menetapkan 12 Sept ini untuk sebutan semula kes.

Pada 5 April lepas, Abdul Hamid Shaikh didakwa menawarkan suapan menerusi Datuk Tan Ser Lay, 60, sebagai dorongan kepada Annuar yang merupakan Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu untuk mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur oleh syarikat berkenaan.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara Julai dan Ogos 2022.- BERNAMA