GEORGE TOWN – Aktivis Belia Malaysia menyifatkan sebarang polemik yang boleh mengganggu gugat pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi oleh Kementerian Pendidikan (KPM) tidak sepatutnya timbul.
Ahli Parlimen Belia Malaysia, Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman berkata, ia susulan pelaksanaan modul itu untuk guru dan murid beragama Islam sahaja.
“Saya menyokong penuh pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi sebagaimana yang telah diumumkan Menteri Pendidikan baru-baru ini.
“Hadis 40 Imam Nawawi ini mengandungi asas Islam, iman dan ihsan yang perlu dihayati dan diterjemahkan dalam kehidupan seharian seorang muslim selain mempamerkan keindahan Islam dalam kehidupan bermasyarakat dengan meraikan kepelbagaian agama dan bangsa sekaligus membudayakan nilai murni dalam kehidupan seharian.
“Namun begitu, wujud pihak yang kurang senang apabila ingin diperkenalkan modul ini dan bagi saya perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana kandungan modul ini menerapkan penghayatan cara hidup islam yang harmoni,” katanya hari ini.
Justeru, Muhammad Nazmi menyeru semua pihak termasuk bukan beragama islam untuk berlapang dada dan lebih terbuka dalam menerima pelaksanaan modul berkenaan.
“Pelaksanaan modul ini juga sama sekali tidak menganggu gugat ketenteraman masyarakat dan tidak sesekali bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta sistem pendidikan.
“Semoga usaha murni dalam melahirkan generasi yang mempunyai jati diri dan nilai murni ini dapat direalisasikan seiiring dengan konsep Malaysia Madani,” katanya. – MalasysiaGazette