Dominic Lau Hoe Chai

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyokong keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melaksanakan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah dan dikhususkan kepada pelajar Islam sahaja.

Bagaimanapun menurut Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau, usaha memberi penerangan terhadap impak dan perjalanan pelaksanaannya kepada pihak berkepentingan terutama ibu bapa perlu dilakukan.

“Masalah yang sering kita hadapi di bawah kerajaan ini adalah mereka gagal dalam proses penerangan dan sering menimbulkan kegelisaan kepada orang ramai,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dominic berpegang kepada kenyataan awal Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bahawa modul yang akan diperkenalkan itu hanya untuk pelajar sekolah agama dan pelajar Islam sahaja.

“Tidak sesekali memperluaskan modul ini kepada pelajar bukan Islam. Jaminan tersebut penting,” tegasnya.

Dominic tidak menafikan elemen kerohanian dan keagamaan perlu diterapkan dalam silibus pendidikan namun ia perlu menggunakan pendekatan sederhana serta menghormati hak agama lain.

“Kita sebagai rakyat berbilang kaum dan agama perlu memahami konteks keserdahanaan dan menghormati pendekatan keagamaan oleh rakan-rakan kita. Selagi sesebuah pengajian tidak menimbulkan kesulitan kepada yang lain, tidak salah mereka (yang Islam) menghayati asas kesucian yang menghimpunkan panduan kehidupan dan dipercayai membantu pembentukan akhlak generasi muda Islam yang lebih baik,” jelasnya.

Kementerian Pendidikan pada 19 Ogos yang lalu melancarkan modul hadis tersebut yang bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah termasuklah menerap semangat kasih sayang dan kefahaman agama khususnya dalam kalangan pelajar serta guru beragama Islam.

Program rintis modul itu akan dilaksanakan di 61 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) khusus pelajar Islam.-MalaysiaGazette