KUALA LUMPUR – Buat julung kalinya, Suria FM membawakan Karnival Mega Suria yang bakal diadakan pada 16 September 2023 (Sabtu) dan 17 September 2023 (Ahad) bertempat di Padang Timur MBPJ, Petaling Jaya, Selangor.

Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid (DJ Lin), Suria FM kembali turun padang menemui peminat dengan sentuhan yang berbeza menerusi Karnival Mega Suria 2023 yang bakal berlangsung selama dua hari hasil kerjasama dengan pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Acara ini diadakan sebagai tanda terima kasih buat semua pendengar di atas sokongan padu yang mereka berikan selama ini terutama siri Jelajah Suria yang sentiasa dinantikan oleh peminat pada setiap tahun.

“Kami ingin meluangkan lebih banyak masa bersama pendengar setia Suria FM menerusi aktiviti luar, jadi kami akan berkampung selama dua hari menyajikan pelbagai aktiviti menarik berkonsepkan ‘kekeluargaan’ yang pastinya menghiburkan pengunjung dari pagi hingga ke malam.

“Kali pertama kami menganjurkan karnival berskala besar seumpama ini, ianya bertujuan untuk menghiburkan semua masyarakat khususnya pendengar Suria sekaligus meluaskan sasaran pendengar Suria FM ke semua lapisan umur,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

DJ Lin.

Karnival yang berlangsung seawal pukul 7 pagi bakal diisi dengan pelbagai aktiviti antaranya gerai makanan, persembahan istimewa dari barisan artis baharu (BBNU), senaman zumba, sesi busking, permainan kanak-kanak, sukan rakyat, pertandingan seperti mewarna, karaoke dan banyak lagi!

Lebih menarik, pengunjung akan turut dihiburkan dengan acara kemuncak Konsert Karnival Mega Suria pukul malam membariskan lebih 20 artis popular seperti Bunkface, Dayang Nurfaizah, Masdo, Dolla, Floor 88, Aris Ariwatan, Amir Masdi & The Band, Muss, Nabila Razali, Insomniacks, Ameng, Baggio, Baby Shima dan ramai lagi.

Juga penampilan istimewa barisan penyampai Suria FM, Shuib, Ajak, Suraya Borhan, Feeya Iskandar (Cik Piah), Sharifah Shahirah (Rara), Tyzo Xander dan DJ Lin.

“Selain itu, wang tunai sebanyak RM10,000 turut menanti pengunjung menerusi ‘Tangkap Duit Suria’ caranya dengan membeli barangan eksklusif Suria minima pembelian sebanyak RM150 di booth Kedai Suria sepanjang acara berlangsung. Kami mengharapkan Karnival Mega Suria mendapat sambutan baik dari semua pihak dan orang ramai dijemput hadir bersama seisi keluarga bagi memeriahkan acara secara percuma ini” tambah DJ Lin.

Sebagai pembuka tirai, Suria FM bersama Himpunan Basikal Lipat Kebangsaan akan menganjurkan acara kayuhan Fun Ride Mega Suriase semalam bertempat di Serambi Teruntum, Kuantan, Pahang. – MalaysiaGazette