Shadan Othman

MELAKA – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan melihat semula kesesuaian membina tiang penghadang konkrit di mana-mana medan selera seliaannya sebagai langkah keselamatan tambahan mengelak berlaku kemalangan.

Datuk Bandarnya, Datuk Shadan Othman berkata, walaupun semua medan selera MBMB kini memenuhi semua ciri-ciri keselamatan, pihaknya memandang serius nahas berlaku di Medan Selera Tanjung Kling, Pantai Puteri semalam.

“Sebenarnya, semua medan selera kita selamat dan kejadian semalam pun berpunca daripada kecuaian pemandunya berusia 16 tahun yang tidak sepatutnya berlaku.

“Tapi apa pun, kita akan lihat pada kesesuaian jika ada medan selera kita yang perlu dipertingkatkan tahap keselamatannya bagi mengelak risiko kejadian sama pada masa hadapan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian seramai 11 pelanggan di medan selera berkenaan dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika mereka sedang menikmati hidangan petang semalam.

Dalam kejadian 2.43 petang itu, semua mangsa bagaimanapun terselamat apabila sempat mengelak daripada dirempuh secara MPV jenis Toyota Avanza itu.

Seramai 11 pelanggan di Medan Selera Tanjung Kling, Pantai Puteri, Melaka di sini berdepan detik cemas apabila dirempuh sebuah MPV ketika sedang menikmati hidangan, semalam.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila seorang remaja lelaki berusia 16 tahun diminta ibunya untuk memanaskan enjin kenderaan itu yang berada di ruang parkir.

Ketika sedang memanaskan enjin, remaja terbabit telah tertekan pedal minyak dan mengubah gear kepada butang R menyebabkan ia mengundur secara mengejut sebelum bergesel dengan kereta di parkir bersebelahan dan mengundur memasuki gerai.

Susulan insiden itu, ada cadangan supaya MBMB memasang tiang atau tembok konkrit di medan selera berkenaan atau mana-mana premisnya yang berisiko berlaku nahas serupa.

Mengulas lanjut Shadan berkata, tidak semua peniaga mahu langkah itu dilakukan di hadapan kedai mereka atas faktor tertentu.

“Antaranya, tembok atau tiang itu akan menghalang pandangan pelanggan ke dalam kedai.

“Ini juga mungkin akan menyukarkan peniaga untuk membawa barangan atau bahan mentah keluar masuk dari kedai namun kita akan meneliti pandangan semua pihak mengenai cadangan ini,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

11 pelanggan medan selera dirempuh MPV ketika mengundur