logo mahlamah

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan menetapkan Rabu ini untuk satu lagi pengurusan kes bagi rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy dalam kes berkaitan pindaan laporan audit 1MDB.

Peguam Najib, Alaistair Brandah Norman dan peguam Arul Kanda, Datuk N. Sivananthan mengesahkan tarikh pengurusan kes seterusnya itu, ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sivananthan berkata, mahkamah akan memutuskan pada hari Rabu ini sama ada perkara itu perlu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan timbalan pendaftar mahkamah rayuan, atau jika ia perlu disebut di hadapan panel Mahkamah Rayuan.

Beliau berkata, ia disebabkan fakta bahawa tiada petisyen rayuan difailkan oleh pihak pendakwaan walaupun tempoh untuk menfailkannya telah tamat.

Sementara itu Alaistair berkata, pihak pembelaan mengambil pendirian bahawa rayuan pihak pendakwaan adalah cacat kerana petisyen rayuan belum difailkan.

Menurut prosedur mahkamah, petisyen rayuan perlu difail dalam tempoh 10 hari selepas penerimaan rekod rayuan daripada pendaftar Mahkamah Tinggi.

Petisyen rayuan itu akan mengandungi asas bagi pihak pendakwaan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tingggi.

Pihak pendakwaan telah menfail notis rayuan pada 9 Mac lepas, memohon kepada Mahkamah Rayuan terhadap kep[utusan Mahkamah Tinggi membebaskan dan melepaskan bekas perdana menteri itu dan Arul Kanda.

Pengurusan kes dikendalikan hari ini di hadapan penolong kanan pendaftar Mahkamah Rayuan, Nurul Azrina Mohamed Yusof.

Dalam prosiding pengurusan kes, Najib diwakili oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Muhammad Farhan Shafee dan Alaistair manakala Arul Kanda diwakili oleh Sivananthan dan Jasmine Cheong. Pihak pendakwaan pula diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fuad Abdul Aziz.

Pada 3 Mac lepas, Hakim Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan bahawa pendakwaan telah gagal mewujudkan satu kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Najib, 70, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 46, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016. – Bernama