MUAR – Kerjasama Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang mengeluarkan anak ayam pedaging berumur sehari (DOC) dilihat mampu mengatasi isu harga ayam di negara ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, projek melibatkan peruntukan berjumlah RM2.35 juta itu adalah untuk menaiktaraf bangunan pusat penetasan anak ayam dilaksanakan di bawah syarikat Medan Juara Sdn Bhd. (MJSB).
“Sekarang harga ayam sudah mulai stabil dan kalau naik pun belum sampai ke harga siling dan saya berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat baik kepada penternak kecil mahu pun besar.
“Kita cuba cari jalan terbaik supaya anak ayam ini mudah didapati dan dapat membantu pengusaha-pengusaha kecil di kampung-kampung,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Santai Peladang Zon Selatan 2023 di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi LPP, Datuk Mahfuz Omar; Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob, Ketua Pengarah LPP, Datuk Azulita Salim dan Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin.
Sementara itu, Zamri berkata, MJSB merupakan syarikat usahasama utama NAFAS dan Pertubuhan Peladang Negeri Johor serta beberapa Pertubuhan Peladang Negeri.
“Ladang Ayam Baka MJSB mula beroperasi pada tahun 1995, dengan hanya memiliki dua buah reban ayam tertutup serta dua unit mesin pengeraman dan penetasan sahaja.
“Namun, ia kini sudah ditingkatkan kepada 10 buah reban dengan kapasiti 10,000 ekor ayam baka bagi setiap reban,” katanya. – MalaysiaGazette