KUALA LUMPUR – Lapan daerah muncul sebagai daerah menua apabila penduduk berumur 65 tahun dan lebih, mencapai 7.0 peratus pada 2023.

Daerah tersebut ialah Johor Bahru, Johor; Kota Bharu, Kelantan; Kuala Krai, Kelantan; Seberang Perai Utara, Pulau Pinang; Barat Daya, Pulau Pinang; Kota Kinabalu, Sabah; Miri, Sarawak dan Ulu Selangor, Selangor.

United Nations telah menetapkan tiga kategori penuaan, iaitu masyarakat menua, komuniti berusia dan masyarakat paling tua masing-masing merujuk kepada penduduk berumur  65 tahun dan lebih mencecah 7 peratus, 14 peratus dan 20 peratus.

Manakala berdasarkan Dasar Warga Emas Negara (DWEN) penuaan ialah apabila penduduk berumur 60 tahun dan lebih mencecah 15 peratus daripada jumlah penduduk.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, Lubok Antu, Sarawak mempunyai penduduk tua tertinggi (65 tahun dan lebih) dengan 14.4 peratus, diikuti Sri Aman, Sarawak (12.8%) dan Song, Sarawak (11.9%).

Malah, Lubok Antu juga kekal mempunyai penduduk tua tertinggi (60 tahun dan lebih) dengan 20.6 peratus, diikuti Kampar, Perak (18.1%) dan Song, Sarawak (18.0%).

Lubok Antu, mencatatkan umur penengah tertinggi 38.4 tahun pada 2023, diikuti oleh Saratok, Sarawak (37.6 tahun) dan Kabong, Sarawak (35.9 tahun) manakala umur
penengah terendah dicatatkan di tiga daerah di Kelantan iaitu Machang (23.6 tahun), diikuti oleh Pasir Puteh (23.5 tahun) dan Kecil Lojing (21.6 tahun).

Tumpat, Kelantan mencatatkan nisbah tanggungan jumlah tertinggi iaitu 66.5, manakala Gua Musang, Kelantan mencatatkan nisbah tanggungan umur muda tertinggi iaitu 57.3.
Sebaliknya, nisbah tanggungan umur tua tertinggi dicatatkan di Lubok Antu, Sarawak (21.2).

Petaling, Selangor mempunyai kepadatan penduduk tertinggi dengan 4,783 orang bagi setiap kilometer persegi, diikuti oleh Timur Laut, Pulau Pinang (4,710 orang) dan Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang (1,845 orang).

Dalam pada itu, daerah Petaling, Selangor mencatatkan bilangan penduduk tertinggi pada 2023 dengan 2.3 juta, diikuti Johor Bahru, Johor (1.8 juta) dan Ulu Langat, Selangor (1.5 juta).

Manakala Kalabakan, Sabah mencatatkan kadar pertumbuhan tertinggi pada 13.4 peratus, diikuti Semporna, Sabah (11.7%) dan Kunak, Sabah (11.5%). Bukit Mabong, Sarawak merekodkan jumlah penduduk terendah dengan 10,400, diikuti oleh Song, Sarawak (10,000) dan Tanjung Manis, Sarawak (7,900).

Mohd Uzir berkata, tiga daerah di Sarawak mencatatkan bilangan penduduk warganegara tertinggi pada 2023 iaitu Julau (99.9%), diikuti oleh Song (99.7%) dan Pakan (99.7%).

Sabah pula mempunyai peratusan penduduk bukan warganegara terbesar dicatatkan di Kinabatangan (70.6%), diikuti Kalabakan (66.5%) dan Kunak (53.2%).

Menurutnya, perempuan melebihi lelaki di 13 daerah iaitu Muallim, Perak dengan nisbah jantina 92 lelaki bagi setiap 100 perempuan diikuti Samarahan, Sarawak (94); Bachok, Kelantan (94); Song, Sarawak (95); Saratok, Sarawak (97); Kubang Pasu, Kedah (97); Julau, Sarawak (98); Tumpat, Kelantan (98); Pasir Puteh, Kelantan (98); Kuala Nerus, Terengganu (99); Kanowit, Sarawak (99); Machang, Kelantan (99) dan Kota Setar, Kedah (99).

Bukit Mabong, Sarawak mencatatkan nisbah jantina tertinggi pada 2023 dengan 157 lelaki bagi setiap 100 perempuan diikuti Cameron Highlands, Pahang (137) dan Belaga, Sarawak (134)”.

Setiu, Terengganu mempunyai komposisi bumiputera tertinggi pada 2023 dengan 99.7 peratus diikuti Nabawan, Sabah (99.6%) dan Hulu Terengganu, Terengganu (99.4%).

Manakala, komposisi Cina tertinggi direkodkan di daerah Timur Laut, Pulau Pinang dengan 63.9 peratus, diikuti Kampar, Perak (48.3%) dan Sibu, Sarawak (48.2%).

Bagi India pula, komposisi tertinggi dicatatkan di Bagan Datuk, Perak, diikuti oleh Klang, Selangor dan Port Dickson, Negeri Sembilan dengan masing-masing 23.2 peratus, 18.8 peratus dan 18.4 peratus.

Komposisi penduduk berumur 0-14 tahun (umur muda) tertinggi pada 2023 dicatatkan di Kecil Lojing, Kelantan dengan 35.3 peratus diikuti Gua Musang, Kelantan (34.7%) dan
Tumpat, Kelantan (33.0%).

Sementara, Sebauh, Sarawak mencatatkan peratusan penduduk berumur 15-64 tahun (umur bekerja) tertinggi dengan 80.2 peratus, diikuti oleh Kinabatangan, Sabah (78.6%) dan Belaga, Sarawak (78.3%). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast