Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ops Tiris hari ini menyerbu sebuah premis di Rantau, Negeri Sembilan yang disyaki dijadikan stor haram tempat penyimpanan dan pemindahan minyak diesel bersubsidi pada 29 Ogos 2023.

Serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota penguat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Putrajaya bermula kira-kira jam 5.15 pagi itu adalah hasil risikan sejak beberapa hari.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa Operasinya, Shamsul Nizam Khalil berkata, modus operandi sindiket ini adalah menggunakan sebuah lori tangki bagi membeli minyak diesel bersubsidi di stesen-stesen minyak sekitar Negeri Sembilan, Perak dan Selangor.

Minyak diesel itu kemudiannya akan dibawa ke stor haram terbabit untuk dipindahkan ke sebuah lori tangki yang lain sebelum dijual kepada pemborong di sekitar Negeri Sembilan dan Pahang.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan premis, pasukan serbuan telah menemukan minyak diesel dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 25,000 liter serta beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel.

“Dua buah lori tangki, pam bermotor, paip penyambung, minyak diesel, beberapa dokumen berkaitan serta peralatan-peralatan lain yang ditemui di lokasi serbuan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM183,720,” katanya dalam kenyataan di sini.

Shamsul Nizam menambah, tiga lelaki warga tempatan yang mengaku sebagai pekerja di premis terbabit serta pemilik lori berkenaan, berumur lingkungan 20-an dan 40-an telah
ditahan bagi membantu siasatan.

Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti individu/syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuklah sumber minyak diesel ini diperoleh dan diedarkan.

Menurutnya, berdasarkan statistik penguatkuasaan Ops Tiris bermula 1 Mac 2023 sehingga 28 Ogos 2023, sebanyak 10,643 pemeriksaan telah dilakukan di
seluruh negara.

Daripada jumlah itu, sebanyak 471 kes telah dihasilkan yang melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM35.42 juta.

Manakala sebanyak 393 tangkapan juga telah dilakukan dalam tempoh yang sama melibatkan 317 individu merupakan warganegara, 73 individu merupakan warga
asing manakala 3 individu adalah pemastautin tetap.

“KPDN ingin memberi amaran keras ke atas mana-mana individu/syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan. Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000,” tambahnya.

Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613] iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau
harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel.

Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM15 juta mana yang lebih tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast