GEORGE TOWN – Hari Kebangsaan Ke-66 yang akan diraikan esok memberi erti Kemerdekaan sebenar buat 16 banduan Penjara Reman Pulau Pinang di sini, apabila mereka dibebaskan menerusi program Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan Madani hari ini.
Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang, Mohamed Jusoh Ismail berkata, program yang memberi peluang kepada banduan menjalani kehidupan baharu itu turut memberi dorongan supaya mereka tidak lagi kembali ke penjara.
Katanya, seramai 16 banduan berusia 30 hingga 60 tahun dibebaskan menerusi program PBSL sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-66 yang mana empat daripada mereka pulang ke pangkuan keluarga manakala selebihnya memilih untuk menjalani latihan kerja bersama majikan.
“Rata-rata yang dibebaskan hari ini perlu menjalani hukuman selewatnya-lewatnya Februari depan dan kebanyakan mereka dijatuhi hukuman atas kesalahan penyalahgunaan dadah.
“Sepanjang tahun ini seramai 256 banduan dibebaskan menerusi program PBSL dan mereka dipilih berdasarkan kesungguhan serta berkelakuan baik ketika dalam tahanan.
“Sepanjang program ini, kami menerima maklum balas positif dalam kalangan majikan dan diharap banduan ini diberi peluang kembali ke pangkuan masyarakat serta tidak mengulangi kesalahan,” katanya sambil menambah penjara itu kini dihuni 1,253 banduan.
Sementara itu, Orang Bebas Berlesen (OBB) yang ingin dikenali sebagai Amri, 49, menyifatkan pembebasan awal ini ibarat kelahiran semula baginya untuk memulakan kehidupan baharu.
Jelas lelaki yang dijadualkan bebas Oktober depan itu, dia bersyukur dapat kembali ke pangkuan keluarga selepas dijatuhkan hukuman penjara selama lapan bulan atas kesalahan berkaitan dadah.
“Saya rasa syukur dan gembira sangat apabila dimaklumkan terpilih untuk program PBSL kerana tak jangka akan diberikan peluang untuk pembebasan awal.
“Pembebasan ini memberi makna besar buat saya tambahan pula esok hari ulang tahun kelahiran saya yang ke-49. Malah hari Kebangsaan esok juga, memberi erti Kemerdekaan sebenar buat diri saya.
“Saya nekad untuk memulakan kehidupan baharu dengan keluarga kakak memandangkan saya masih bujang selain menanam azam untuk tidak terjebak dengan kesalahan lampau,” katanya.
Terdahulu, Amri disambut tiga anak saudaranya untuk dibawa pulang ke kediaman mereka.
Bagi, OBB yang ingin dikenali sebagai Mohammad, 30, menyifatkan pembebasan awal ini membuka lebaran baharu buat dirinya yang nekad mahu menjaga ibunya yang mempunyai beberapa penyakit kronik.
“Saya menetap di daerah Barat Daya namun selepas pembebasan ni saya akan berhijrah ke kampung Opah di Perak bagi memulakan kehidupan baharu.
“Saya bersyukur keluarga terima saya kembali meskipun pernah menyusahkan serta memalukan mereka. Saya fokus dalam pekerjaan untuk mencari rezeki bagi menampung perbelanjaan diri dan ibu yang sakit,” katanya yang menjalani hukuman penjara sejak 17 Februari lalu. – MalaysiaGazette