KUALA LUMPUR – Industri pembuatan beroperasi pada kapasiti penggunaan yang lebih rendah iaitu 78.2 peratus, susut 0.8 peratus pada suku kedua 2023 berbanding setahun lalu dengan enam negeri melepasi paras kadar nasional.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan tersebut merupakan kali kedua pada tahun ini berikutan penyusutan yang dicatatkan dalam hampir kesemua subsektor kecuali
Pembuatan produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam yang direka.
Berbanding suku tahun sebelumnya, kapasiti penggunaan industri pembuatan terusmenurun kepada negatif 1.6 mata peratus (ST1 2023: 79.8%; -0.4 mata peratus).
Kadar kapasiti penggunaan yang lebih rendah tersebut dipengaruhi oleh prestasi pada April 2023 yang merekodkan 76.5 peratus, paling rendah dicatatkan sejak Disember 2021.
Pada masa yang sama, kapasiti penggunaan bagi Mei dan Jun 2023 masing-masing mencatatkan 79.0 peratus dan 79.2 peratus.
Penurunan pada suku kedua 2023 juga dicerminkan oleh pengeluaran output pembuatan, yang merekodkan pertumbuhan marginal 0.1 peratus dalam Indeks Pengeluaran Perindustrian (ST1 2023: 3.4%).
Beberapa faktor menyumbang kepada kapasiti pengeluaran yang lebih rendah pada suku kedua 2023, terutamanya permintaan yang rendah; bekalan bahan yang tidak mencukupi; dan pembaikan & penyelenggaraan mesin & peralatan.
“Subsektor pembuatan kelengkapan pengangkutan & pembuatan lain menunjukkan kadar kapasiti penggunaan yang tertinggi pada suku kedua 2023 dengan 80.4 peratus tetapi menurun sebanyak
0.2 mata peratus tahun ke tahun; dan diikuti oleh pembuatan tekstil, pakaian, produk kulit & kasut (80.1%; -1.3 mata peratus).
“Sementara itu, kadar kapasiti penggunaan bagi subsektor yang lain adalah di bawah 80.0 peratus dengan yang paling rendah direkodkan oleh subsektor pembuatan kayu, perabot, produk kertas & percetakan pada 76.2 peratus (ST2 2022: 78.6%; -2.4 mata peratus).
Berbanding suku tahun sebelum, subsektor pembuatan makanan, minuman & tembakau; dan pembuatan kelengkapan pengangkutan & pembuatan lain masing-masing jatuh kepada negatif 5.3 mata peratus dan negatif 3.6 mata peratus,” katanya.
Selain itu, kapasiti penggunaan dalam pembuatan produk petroleum, kimia, getah & plastik terus merosot dengan negatif 3.6 mata peratus kepada 77.2 peratus berbanding suku pertama 2023 (ST1 2023: 80.8%; -1.3 mata peratus).
Kapasiti penggunaan bagi industri berorientasikan eksport merosot 1.2 mata peratus kepada 77.4 peratus pada suku tahun tersebut.
Menurutnya, hamprr kesemua industri dalam segmen ini mencatatkan kemerosotan kecuali pembuatan minyak & lemak daripada sayuran & haiwan yang mencatatkan peningkatan 4.6 mata peratus kepada 70.4 peratus; dan pembuatan pakaian yang naik 3.2 mata peratus kepada 81.6 peratus.
Tambahan lagi, pembuatan kimia & produk kimia serta pembuatan jentera & peralatan t.t.t.l masing-masing turut mengalami peningkatan 1.5 mata peratus dan 1.9 mata peratus.
Namun begitu, kadar kapasiti penggunaan bagi industri berorientasikan domestik tumbuh sederhana 0.2 mata peratus, mencapai 80.1 peratus.
Peningkatan tertinggi direkodkan oleh pembuatan lain (79.0%; +3.1 mata peratus); diikuti membaiki & pemasangan jentera & kelengkapan (79.0%; +2.9 mata peratus); dan Pembuatan produk prosesan makanan (80.6%; +1.8 mata peratus).
Bagi perbandingan dengan suku tahun sebelum, kedua-dua industri berorientasikan domestik dan eksport masing-masing merekodkan kejatuhan 2.0 mata peratus dan 2.3 mata peratus.
Mengulas lanjut mengenai kapasiti penggunaan di peringkat negeri, Mohd Uzir berkata, pada suku kedua 2023, kapasiti penggunaan di enam negeri melepasi paras kadar nasional iaitu Terengganu (86.4%), Selangor (82.0%), Melaka (81.8%), Johor (78.7%), Kedah (78.6%) dan Negeri Sembilan (78.3%).
Sementara itu, negeri lain merekodkan kadar kapasiti yang lebih rendah dari paras purata nasional, dengan Perlis terus merekodkan kadar terendah pada 62.3 peratus. – MalaysiaGazette