KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia membantu seorang murid, Muhammad Aqil Naufal Zahiran yang tular baru-baru ini selepas beliau berusaha keras menamatkan larian 100 meter (m) di satu Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas dengan menggunakan tongkat.

Menyanjungi usaha murid 11 tahun itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memberi komitmen akan berusaha melakukan yang terbaik di pihak KBS untuk membantu Muhammad Aqil, termasuk dalam menyertai lebih banyak aktiviti sukan pada masa akan datang.

Malah, menurutnya, KBS melalui Institut Sukan Negara (ISN) telah membuat persiapan untuk bertemu dengan pakar prostetik minggu ini bersama keluarga Muhammad Aqil.

“Saya telah melihat usaha adik Muhammad Aqil menamatkan lariannya. Ini adalah mentaliti seorang juara. Tiada alasan untuk tidak bertanding. Tiada alasan untuk tidak bersaing dalam perlumbaannya dan beliau telah membuktikannya dan melakukan yang terbaik dengan keadaannya.

“Adik Muhammad Aqil mempunyai pemikiran seorang juara. Ini adalah mentaliti yang diperlukan, seperti yang diterapkan dalam inisiatif Road to Gold. Saya menghargai usaha dan menyanjungi adik Muhammad Aqil. katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Aqil yang merupakan murid Program Pendidikan Inklusif Penuh di sebuah sekolah rendah di Pahang itu kehilangan kaki kirinya akibat jangkitan kuman pada 2015. — BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast