Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengibarkan jalur gemilang bersama penjawat awam semasa hadir ke Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 30 OGOS 2023.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak semua rakyat untuk memaknai kemerdekaan dengan semangat bahawa negara ini milik semua kaum.

Ketika menyampaikan Amanat Perdana sempena Hari Kebangsaan 2023 Anwar berkata, Malaysia boleh menjadi hebat dan gagah jika setiap rakyat mempunyai semangat tersebut.

“Saya yakin kalau semangat ini ada dalam kalangan rakyat Malaysia akan muncul sebagai negara yang hebat, gagah di Asia Tenggara ini.

“Syaratnya semangat yang telah diperkukuhkan oleh bapa-bapa kita iaitu persatuan, perpaduan dan menerima kenyataan bahawa kita merdeka dengan suku kaum induk Melayu dan bumiputera

“Dengan penyertaan rakan-rakan lain. Cina, India, orang asli. Penyertaan Melanau, Dusun, Dayak, Khadzan, Bajau, Sulu semuanya masuk dalam keluarga dan kita kena pertahankan semnangat bahawa negara ini adalah negara milik semua rakyat Malaysia,” kata Anwar.

Katanya, kesatuan dan perpaduan yang telah dipupuk bagi menjadi masa depan negara melalui dasar dan pelaksanaan yang dilakukan.

Anwar turut menegaskan bahawa Malaysia Madani dibawah kepimpinan Kerajaan Perpaduan akan terus mempertahan dan menegakkan hak setiap rakyat.

“Kesatuan dan perpaduan yang kita pupuk ini untuk apa? Untuk dijamin masa depannya melalui dasar dan pelaksanaan sekarang, sebab itu saya kata dalam menyonsong ke depan, isu yang kadang-kadang sangat tidak disenangi sebahagian kecil kita, tentang pengurusan dan tata kelola, jangan gunakan kuasa untuk memunggah kekayaan untuk diri dan keluarga atau kroni.

“Masalah di negara kita bukan masalah perbezaan kaum, budaya atau agama. Allah jadikan perbezaan untuk kenal dan hormat di antara satu sama lain dan kita mesti terima kenyataan itu, tidak siapa mempertikai peruntukan-peruntukan mutlak, kukuh dalam perlembagaan negara kita. Soal Bahasa Melayu, soal Islam agama Persekutuan, soal hak keistimewaan Melayu bumiputera dan kedaulatan negara.

Anwar turut menegaskan merdeka bermaksud daripada kepimpinan tertinggi sehingga rakyat harus sedar bahawa bumi bertuah Malaysia ini merupakan satu amanah yang perlu dipertanggungjawabkan.

Mereka juga tidak harus menjadi alat oleh kumpulan elit untuk mengaut keuntungan.

“Dari pimpinan tertinggi sehingga rakyat harus tahu bahawa negara ini adalah suatu amanah dan segala kuasa yang ada di peringkat kecil, di kampung, penghulu, pejabat daerah sehinggalah di Jabatan Perdana Menteri (JPM) mesti melahirkan manusia yang jiwanya merdeka, yang tidak sanggup negara ini dijadikan perkakas untuk memperolehi habuan untuk golongan elit.

“Usaha memastikan jiwa merdeka itu harus saling berterusan, memaknai merdeka maknanya segala khazanah, kekuatan dan usaha adalah untuk mengembalikan hak kepada rakyat dan mengangkat martabat negara ini,” katanya.

Kira-kira 6,000 orang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat iaitu penjawat awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelajar sekolah, belia, komuniti, anggota beruniform
termasuk para usahawan di peringkat Persekutuan dan Negeri. hadir pada majlis tersebut.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Setelah beratus tahun dijajah Portugis, Belanda, Siam, British, Jepun dan Penganas Komunis akhirnya negara telah mencapai kemerdekaan. Peristiwa Balai Polis Bukit Kepong yang diserang hendap pengganas komunis dan membunuh suri2 rumah dengan sangat kejam dan tragis meninggalkan kesan mendalam sehingga kini.

    Salam takziah kepada waris2 polis dan keluarga yang terbunuh. Semoga roh mereka2 yang syahid ini dicucuri rahmat.

    Selamat Hari Merdeka. Peace!

Comments are closed.