KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan perbicaraan 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) yang ke-47 memberitahu Mahkamah Tinggi wujud bukti jejak aliran wang sebanyak RM2.28 bilion syarikat itu masuk ke dalam dua akaun peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Saksi itu, Adam Ariff Mohd Roslan yang merupakan seorang penganalisis pasukan petugas khas 1MDB memaklumkan telah diarah menilai 19 urus niaga yang masuk ke dalam dua akaun bekas Perdana Menteri itu antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 dengan amaun serendah RM11,567.57 dan paling tinggi RM602 juta.
“Ketika dipinjam di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saya ditugaskan oleh pegawai penyiasat, Superintendan Kanan Nur Aida Arifin untuk bantu dalam kenal pasti dan mengesan kaitan antara dana dikumpul 1MDB dan wang diterima Najib.
“Wang itu dimasukkan ke dua akaun peribadi Najib di AmIslamic Bank Berhad iaitu AmPrivate Banking – MR dan AmPrivate Banking – 1MY,” katanya ketika membaca keterangan dihadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini.
Kata saksi berusia 29 tahun itu, analisis terhadap jejak wang dalam dua akaun bank terbabit boleh diasingkan kepada empat fasa termasuk ‘Tanore’.
Jelasnya sebanyak RM2.081 bilion telah dikreditkan ke akaun Najib ianya menerusi AmPrivate Banking MR daripada akaun Falcon Private Bank, Singapura atas nama Tanore Finance Corp, antara 21 Mac dan 10 April 2013, yang mana ia dikesan pada bon dikeluarkan 1MDB Global Investment Limited.
“Fasa ‘Aabar-BVI’ pula antara 30 Oktober dan 20 November 2012 dengan RM90.899 juta dikreditkan ke AmPrivate Banking – MR daripada akaun Standard Chartered Bank, Singapura atas nama Blackstone Asia Real Estate Partners yang dikesan pada bon dikeluarkan 1MDB Energy (Langat) Limited.
“Fasa ‘Good Star’ antara 23 Februari dan 14 Jun 2011 membabitkan RM60.629 juta dikreditkan ke akaun sama daripada akaun Riyad Bank, Arab Saudi yang dikesan pada terbitan Bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) 1MDB pada 2009 dan pinjaman bertempoh bersindiket pada 2010,” ujarnya.
Tambahnya, antara 23 Oktober dan 19 Disember 2014, sebanyak RM45.837 juta telah dikreditkan ke akaun sama daripada akaun Amicorp Bank, Barbadosatas nama Vista Equity International Partners Limited.
“Ini adalah hasil pinjaman AS$975 juta daripada 1MDB Energy Holdings Limited pada 2014,” kata saksi itu.
Najib sedang berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. – MalaysiaGazette