Fenomena air pasang merah dikesan di perairan Teluk Bahang, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesahkan terdapat kepekatan oksigen terlarut (DO) susulan kejadian air pasang merah di perairan Teluk Bahang hingga mengakibatkan kawasan itu tidak mematuhi Kelas 2 Standard Kualiti Air Marin Malaysia (SKAMM) untuk melindungi sumber hidupan akuatik.

Ketua Pengarah JAS, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, ia berdasarkan analisa yang dihantar pihaknya ke Jabatan Kimia semalam.

Jelas beliau, analisa awal menunjukkan Dissolved Oxygen (DO) sekitar 1.59 – 2.09 mg/L bagi kedalaman antara satu hingga empat meter di perairan tersebut.

“JAS telah menerima aduan ikan mati dan tompokan berwarna merah di Teluk Bahang atau lebih spesifik pada kedudukan tompokan ditemui di koordinat (100.193017, 5.472580) dan berhampiran sangkar ikan (100.205173, 5.472580) daripada orang awam melalui emel e-aduan pada 27 Ogos lalu.

Lokasi kejadian berhampiran kawasan sangkar ikan dan jeti LKIM Teluk Bahang.

“Sejurus aduan diterima sepasukan anggota JAS telah ke lapangan dan meninjau keabsahan aduan tersebut dan pemerhatian visual mendapati wujud tompokan berwarna merah yang biasa dikaitkan dengan fenomena algae bloom.

“Susulan itu, beberapa persampelan telah dibuat dan dihantar ke Jabatan kimia untuk analisa sebelum mendapati kepekatan oksigen terlarut (DO) di kawasan ini tidak mematuhi Kelas 2 SKAMM untuk melindungi sumber hidupan akuatik,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Semalam, Pejabat Perikanan Pulau Pinang dalam satu kenyataan media berkata, kepadatan sel fitoplanton yang tinggi menyebabkan berlaku ledakan alga serta mengakibatkan kematian ikan.

Tambah Wan Abdul Latiff, berdasarkan rekod JAS, kawasan Teluk Bahang merupakan kawasan komuniti luar bandar dan tidak mempunyai punca pencemar tetap dari mana-mana industri-industri.

Bagaimanapun, jelas beliau, kedua-dua loji pengolahan kumbahan yang berkapasiti 2500 PE dan 1680 PE di Teluk Bahang ketika ini mematuhi standard yang telah ditetapkan.

“Di bawah Program Pengawasan Kualiti Alam Sekitar (EQMP), terdapat dua stesen pengawasan kualiti air marin di sekitar kawasan Teluk Bahang yang mana kualiti air marin dipantaui sebanyak enam kali setahun.

“Berdasarkan data pengawasan tersebut, status kualiti air marin untuk kedua-dua stesen yang berdekatan dengan Teluk Bahang tersebut tidak pernah merekodkan status tercemar, malah, lazim berada pada status baik dan terbaik sebelum ini.

“Walau bagaimanapun, JAS akan terus memantau kualiti air marin di sekitar perairan ini dan turut bekerjasama dengan Jabatan Perikanan Pulau Pinang dalam fenomena ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut meminta kerjasama daripada orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol, 1-800-88-2727 dan https://eaduan.doe.gov.my.

Media pada Isnin lalu melaporkan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian air pasang merah yang didakwa berlaku di perairan Teluk Bahang dan Sungai Pinang, Balik Pulau di sini yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan nelayan di kawasan berkenaan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat berkenaan daripada Jabatan Perikanan dan Jabatan Alam Sekitar serta memantau fenomena berkenaan. – MalaysiaGazette