BEIJING – China meminta India untuk bertenang berhubung isu peta baharu negara ini, selepas Beijing mendakwa negeri Arunachal Pradesh sebagai sebahagian wilayah miliknya.
Negeri Arunachal Pradesh yang terletak di timur laut dan dataran tinggi Aksai Chin merupakan wilayah yang dipertikaikan oleh kedua-dua negara.
Beijing bertindak balas dengan mengatakan jirannya harus mengelak daripada “terlalu menafsirkan” isu itu.
Sementara itu, laporan media mengatakan Presiden China Xi Jinping mungkin tidak menyertai perbincangan pemimpin G20 minggu depan di New Delhi.
Sebaliknya, laporan yang tidak disahkan menyatakan kemungkinan Perdana Menteri Li Quang akan hadir pada mesyuarat itu.
Xi sebelum ini mengesahkan beliau akan pergi ke New Delhi untuk mesyuarat itu dari 9-10 September – tetapi kementerian luar China tidak mengesahkan kehadirannya apabila diminta berbuat demikian pada taklimat akhbar biasa pada Khamis.
India bukan satu-satunya negara yang membantah peta itu – pada Khamis lalu, Filipina dan Malaysia mengeluarkan bantahan terhadap tuntutan pemilikan China ke atas sebahagian besar Laut China Selatan dalam peta.
Taiwan – yang dikatakan China sebagai wilayah pemisah yang akhirnya akan berada di bawah kawalan Beijing – juga membantah kemasukannya dalam peta. – Agensi