KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan sedang merangka Akta baharu yang dikenali sebagai Akta Muzium bagi mengawal selia aktiviti bekaitan muzium di negara ini.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, dengan adanya akta baharu itu, pihaknya tidak lagi perlu bergantung kepada Akta Warisan 2005.
“Sebelum ini kita tidak mempunyai akta berkaitan muzium dan hanya bergantung kepada Akta Warisan 2005.
“Jadi akta baharu ini diperlukan untuk mewujudkan lebih banyak undang-undang berkaitan muzium.
“Kita akan bawa cadangan ini ke Parlimen secepat mungkin selewat-lewatnya dua tahun akan datang,” katanya kepada pemberita di Muzium Negara, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan Sambutan 60 Tahun Muzium Negara.
Jelas beliau, Akta Muzium itu nanti membolehkan pihaknya mewajibkan setiap muzium mendaftar semua koleksi negara.
“Ia bagi tujuan rujukan dan penetapan standard dalam setiap pameran yang dijalankan institusi itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette