Projek PSI sebelum ini terdiri daripada tiga pulau namun kini dikecilkan kepada satu pulau.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) merayu agar Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri tidak meneruskan Projek Pulau Pinang Selatan (PSI).

Dalam kenyataan bersama, Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader dan Setiausaha SAM, S. Mageswari meluahkan rasa kesal apabila kerajaan negeri mengumumkan kelulusan pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bagi projek Pulau Silikon Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang.

“Kami ingin tahu sama ada kerajaan negeri telah mendapat kebenaran merancang untuk memulakan projek di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 memandangkan ia keperluan undang-undang yang perlu dipatuhi.

“Kami juga kecewa dengan Kerajaan Madani yang nekad untuk meneruskan projek tersebut walaupun terdapat kebimbangan dan bantahan dibangkitkan rata-rata nelayan negeri ini.

“Malah, nelayan telah mencabar kelulusan laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi cadangan projek ini tetapi tiada tarikh pendengaran ditetapkan setakat ini oleh Lembaga Rayuan yang ditubuhkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah mereka, pengurangan skala projek daripada tiga pulau kepada satu tidak meredakan kebimbangan semua pihak termasuk komuniti nelayan.

“Seperti yang kami telah hujahkan berulang kali, projek ini tidak diperlukan kerana tanah di Seberang Perai adalah lebih daripada mencukupi untuk sebarang pengembangan aktiviti ekonomi.

“Memusnahkan ekosistem penting serta kaya dengan kepelbagaian biologi bukan saja tidak boleh diganti malah tidak masuk akal.

“Kerajaan Madani melafaz akan bertindak demi kepentingan awam bagi memastikan keadilan sosial, tetapi kini mengabaikan bantahan keras daripada persatuan nelayan rasmi,” kata mereka.

Sehubungan itu, CAP dan SAM sekali lagi merayu kepada kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri serta Kerajaan Negeri agar tidak memburukkan lagi ketidakadilan sosial dan alam sekitar dengan meneruskan projek PSI.

“Kami menggesa agar permulaan kerja tambakan  ini dihentikan dengan segera.

“Tolong dengar suara mereka yang mewakili kepentingan tulen nelayan, jangan mengalah kepada pihak swasta yang mengutamakan keuntungan berbanding kesejahteraan awam,” kata mereka. – MalaysiaGazette