bidang tujahan IPT warga emas MQA
Mohammad Shatar Sabran

KUALA LUMPUR – Dalam usaha memperkasa kedudukan penarafan universiti dunia, institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan diingatkan supaya tidak sesekali melupakan fungsi utama universiti iaitu melahirkan pelajar yang cemerlang selaras dengan keperluan masyarakat dan industri.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, perkara itu sejajar dengan satu daripada empat elemen diperkenalkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke arah pemerkasaan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.

Beliau berkata, penyediaan bakat menjadi elemen penting dalam menjayakan Ekonomi Madani dalam sektor pendidikan tinggi selain penyelidikan dan inovasi, pemindahan dan perkongsian ilmu oleh universiti dengan masyarakat serta pengantarabangsaan.

Katanya, kini sebahagian IPT ghairah mengejar kedudukan penarafan universiti dunia sehingga ada yang ‘lupa’ untuk memberi keutamaan terhadap kualiti pelajar.

“Difahamkan ada pelajar yang mempunyai kesukaran untuk berjumpa dengan pensyarah kerana kesibukan tenaga pengajar yang begitu fokus mengejar penerbitan jurnal di H-Index, Scopus dan sebagainya.

“Diharapkan IPT memberi pertimbangan sewajarya supaya usaha bagi meningkatkan kualiti pelajar diberi perhatian serius dalam melahirkan bakat terbaik di negara ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad Shatar berkata, dengan pencapaian pelajar yang cemerlang pastinya menjadi idaman majikan seterusnya mencerminkan kualiti sesebuah IPT.

Katanya, secara automatik imej IPT berkenaan akan melonjak tinggi di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Jadi, tugas utama IPT bukanlah untuk mengejar kedudukan penarafan dunia, namun lebih kepada melahirkan bakat luar biasa yang menjadi pilihan industri di dalam dan luar negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast