KUANTAN – Seorang lelaki bagaikan haruan makan anak apabila tergamak merogol anak perempuannya sendiri pada 25 April lalu.
Tertuduh yang bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan merogol anak perempuannya yang berusia 14 tahun.
Tertuduh yang kelihatan sebak dan menahan air mata ketika membuat pengakuan itu, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang berusia 39 tahun itu didakwa telah merogol anak remajanya yang berusia 14 tahun empat bulan pada tarikh tersebut, pada pukul 4.30 petang di ruang tamu rumah mereka.
Bagi kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan di mana jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun, tidak melebihi 30 tahun dan tidak kurang dari sepuluh sebatan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Nadhirah Kasim yang memohon agar tertuduh tidak ditawarkan sebarang jaminan mengambil kira tertuduh merupakan bapa kandung mangsa.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam hanya menjawab setuju sambil menundukkan kepala ketika ditanya hakim sama ada dia mahu memohon kebenaran ikat jamin atau tidak.
Oleh itu, mahkamah memutuskan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan menetapkan 13 September depan sebagai tarikh sebutan hukuman. – MalaysiaGazette