KUALA LUMPUR – Penjaga gol Harimau Malaya, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed sedia memberi aksi terbaik untuk menggalas cabaran menjaga gawang skuad kebangsaan walaupun dia jarang diuji dalam saingan Liga Super.
Syihan yang juga penjaga gol utama skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) berkata, dia tidak goyah malah mahu membalas kepercayaan oleh pengendali Harimau Malaya Kim Pan Gon.
“Sebagai pemain, jurulatih sudah bagi kepercayaan dan kita perlu buat terbaik termasuklah fokus 100 peratus,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pestabola Merdeka 2023 dan pengumuman kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia dan AEON Big di Aeon Big Wangsa Maju di sini hari ini.
Syihan hanya melepaskan tujuh gol dalam saingan Liga Super pada musim ini.
Namun pada pertemuan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC baru-baru ini dia terpaksa bekerja keras ketika keputusan seri 3-3 manakala perlawanan lain pula lebih kepada ‘santai’ kerana jarang diuji pasukan lawan.
Pemain berusia 28 tahun itu turut berkata, perlawanan menentang pasukan yang berada di ranking 100 terbaik adalah pengalaman berharga yang dinantikan barisan skuad Harimau Malaya.
“Alhamudillah, kita dapat lawan pasukan dalam ranking lebih tinggi sekali gus pengalaman yang bagus menentang Syria dan China.
“Kita boleh ambil perlawanan terbabit untuk perbaiki kelemahan. Semua pemain sudah bersedia dan akan berikan terbaik untuk pasukan,” katanya.
Mengikut rekod, skuad Harimau Malaya bakal memulakan perlawanan persahabatan menentang Syria pada 6 September manakala China pada 9 September ini. – MalaysiaGazette