Amira Aisya Abd Aziz

KUALA LUMPUR – Dakwaan Timbalan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abd Aziz yang dirinya disenaraihitamkan sehingga tidak boleh memegang jawatan dalam sebarang pertubuhan adalah tidak benar.

Sebaliknya jelas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), tindakan yang dikenakan terhadap pemimpin parti itu adalah pembatalan pendaftaran Persatuan Ekonomi Merdeka (No. Pendaftaran: PPM002-10-03112017) melalui Notis yang dikeluarkan di bawah Seksyen 13(1)(c)(iv) pada 28 Oktober 2022

“Tindakan tersebut juga mengikat beliau (Amira Aisya) di bawah Seksyen 49 dalam akta yang sama,” kata RoS menerusi kenyataan.

Menurut kenyataan yang sama, tindakan yang diambil adalah berpandukan kepada proses siasatan dan undang-undang yang teratur selaras dengan kuasa RoS yang termaktub di dalam Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832).

Semalam Amira dilaporkan memperoleh kebenaran meneruskan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar tindakan RoS menyenaraihitamkan dirinya sehingga tidak boleh memegang jawatan dalam sebarang pertubuhan berdaftar.

Perkara tersebut disahkan oleh peguamnya, Lim Wei Jiet.

Katanya, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan kebenaran berkenaan pada 17 Ogos lalu.

Dalam permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman itu yang difailkan pada 13 Julai lalu melalui firma guaman Tetuan Lim Wei Jiet, Amira Aisya menamakan RoS sebagai responden tunggal.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast