SEGAMAT – Enam sekeluarga yang maut dalam nahas jalan raya di Kilometer 5, Jalan Segamat – Kuantan petang semalam dijangka dikebumikan di Parit Jawa, Muar setelah proses menuntut jenazah dilakukan ahli keluarga.
Kemalangan berlaku kira-kira pukul 6.37 petang itu melibatkan lima kenderaan termasuk sebuah lori.
Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Ahmad Zamry Marinsah ketika dihubungi berkata, nahas jalan raya itu berpunca daripada sebuah lori yang gagal dikawal yang terbabas memasuki laluan bertentangan.
Hasil siasatan awal mendapati, sebuah kereta Honda HRV dari arah Kuantan menuju Segamat dilanggar sebuah lori pada bahagian belakang ketika memperlahankan kenderaan kerana terdapat kerja pembaikan jalan di lokasi kejadian.
Lori muatan pasir itu turut melanggar sebuah kereta Proton Wira sebelum memasuki laluan bertentangan lalu merempuh kereta Perodua Alza yang dinaiki enam mangsa itu.
Polis mengesahkan mangsa yang maut akibat kemalangan itu ialah pemandu Perodua Alza, Amir Ruddin Ismail yang berusia 46 tahun.
Turut maut penumpang yang juga ahli keluarganya iaitu isterinya, Norahimah Noor Muhamad, 43, dan lima anaknya.
Kelima-lima anaknya itu ialah Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Ansyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi yang berusia lima tahun.
Manakala seorang lagi mangsa yang juga penumpang kereta Alza, Abdullah Amir Ruddin, 15, dan pemandu lori sedang dirawat di Hospital Segamat akibat kecederaan parah.
Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan.
Sementara itu, Komander Operasi Bomba Kanan 1, Mansor Mohamad memberitahu seramai 16 anggota bomba dari Segamat dan Bandar Baru Segamat telah dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu menyelamatkan mangsa..- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: