Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mengadakan Sesi Dialog Belanjawan 2024 bersama pemain industri dan pihak berkepentingan di bawah Subsektor Padi pada 7 September nanti.

Menurut kementerian tersebut, dialog tersebut diadakan untuk mendapatkan input dan pandangan daripada pelbagai pihak demi dalam usaha meningkatkan pengeluaran bekalan beras
putih tempatan (BPT).

“Dialog berkenaan akan diadakan di MAEPS Serdang, Selangor,” kata kementerian berkenaan menerusi kenyataan.

KPKM sebelum ini meminta pihak pengilang padi dan pemborong beras meningkatkan bekalan BPT sehingga 20 peratus melalui.

Sehubungan itu, katanya, langkah intervensi bagi meningkatkan bekalan sedang giat dijalankan.

“Pemantauan berterusan di seluruh negara dilakukan melalui kolaborasi bersepadu antara Kawalselia Padi dan Beras (KPB), KPKM dan Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Operasi
Jamin (OP JAMIN) yang dimulakan sejak 1 Julai masih berlangsung sehingga kini,” jelas KPKM.

Sebagai rekod, pihak pengilang padi telah bersetuju untuk menambah kuota pengeluaran padi kepada 20 peratus.

Persetujuan berkenaan dicapai semasa Sesi Libat Urus Bersama Pihak Industri Pengilang Padi Dan Pemborong Beras Zon Utara pada 27 Ogos lalu yang diadakan di Alor Setar, Kedah.

“Melalui Program Khas BPT ini juga, pihak BERNAS akan memberikan kuota tambahan ini kepada pemborong-pemborong Bumiputera untuk menambah bekalan BPT negara,” tambah kementerian itu.- MalaysiaGazette