Foto media sosial.

KUALA LUMPUR – Pelakon, Puteri Sarah Liyana akhirnya mengotakan amarannya terhadap kakak ipar kepada bekas madunya, Ira Kazar iaitu Wiwie Darvienda Mazweena apabila telah menghantar satu penyata tuntutan saman fitnah kepada individu itu menerusi peguamnya.

Menerusi satu muat naik dalam Instagram, bekas isteri kepada pengarah filem, Syamsul Yusof itu berkongsi penyata tuntutan itu yang difailkan termasuk injuksi terhadap Wiwie menerusi peguamnya, Datuk Akberdin Abd. Kadir pada 30 Ogos lalu.

Antara isi kandungan yang dinyatakan dalam tuntutan tersebut menyebut bahawa Wiwie telah membuat kenyataan tidak wajar tentang dirinya dalam Instagram pada 24 Ogos lalu.

Sarah yang kini berada di Jakarta, Indonesia turut meluahkan rasa lega dengan perkembangan tuntutan yang difailkan terhadap wanita terbabit.

“Alhamdulillah, berita gembira daripada peguam saya. Kerana mulut, badan binasa,” tulisnya.

Perkongsian pelakon berusia 37 tahun itu turut mendapat sokongan daripada pengikutnya apabila menasihati Sarah supaya tidak menarik semula saman terhadap Wiwie selain sebagai pengajaran untuk masa akan datang.

Terdahulu, Sarah meluahkan hasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Wiwie selepas wanita itu masih mengganggu ketenteraman dan menjaja cerita tentang dirinya walaupun sudah menarik semula saman terhadap Ira Kazar dan keluarga bekas madunya itu.

Menurut Sarah, Wiwie seolah-olah belum move on dan tidak bersyukur apabila dia membuat keputusan menarik saman terhadap Ira Kazar dan dua ahli keluarganya yang lain.

“Saya sudah selesai dengan Syamsul, dah elok (hubungan) dan kami gembira dengan kehidupan sendiri. Awak entah dari mana bercakap tentang kami? Meroyan dekat rakan rapat kau?

“Sudah tarik saman pun cukup baik, kau patut bersyukur tetapi tidak! Masih nak menjaja cerita. Tak tau nak publisiti ke apa,” katanya menerusi satu hantaran yang dikongsikan dalam InstaStory.

Pada Jun tahun lalu, Puteri Sarah memfailkan satu tindakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dua aduan di pejabat agama terhadap Ira Kazar yang didakwa kekasih Syamsul ketika itu.

Mahkamah kemudian mengeluarkan perintah injunksi inter-parte bagi kedua-dua belah pihak yang antara lainnya menyatakan Ira atau sesiapa yang mempunyai kaitan dengan Ira untuk tidak menjejaskan ketenteraman Puteri Sarah serta keluarganya dan keluarga mentuanya.

Kemelut rumah tangga Syamsul Yusof dan Puteri Sarah akhirnya berakhir apabila disahkan bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur Pada 14 Jun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast