JERTIH – Tiga lelaki dikhuatiri sesat selepas gagal turun ke kaki gunung ketika melakukan aktiviti pendakian di Gunung Tebu di Jabi, dekat sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Besut DSP Azrol Anuar Nor berkata pendaki berusia 23 hingga 33 tahun itu dikatakan keluar dari rumah masing-masing di Kuala Terengganu pada Khamis lepas.
“Polis menerima maklumat berkaitan tiga lelaki tersesat di hutan Gunung Tebu daripada salah seorang ibu mereka pada 12.50 tengah hari semalam.
“Wanita itu menyedari kejadian itu setelah dihubungi oleh anaknya semalam melalui telefon bimbit memberitahu dia dan rakannya tersesat di Gunung Tebu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya susulan itu gerakan mencari dan menyelamat (SAR) telah dilancarkan pada 3.30 petang pada hari sama.
Bagaimanapun, Azrol Anuar berkata operasi SAR ditangguhkan pada 6 petang semalam berikutan keadaan cuaca yang hujan dan hari semakin gelap.
Katanya, operasi pencarian yang membabitkan pihak polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan malim gunung itu disambung 8 pagi hari ini.
“Bagi melancarkan operasi SAR, kaki gunung tersebut iaitu Hutan Lipur Lata Belatan ditutup sementara kepada pengunjung mulai hari ini,” katanya.- BERNAMA