Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil bercakap kepada media selepas melancarkan Program Kita MADANI Aspirasi Malaysia 2023 Peringkat Wilayah Persekutuan di Pantai Eco Park, Kampung Pasir, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 03 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Dakwaan Perikatan Nasional (PN) bahawa Kerajaan Perpaduan akan meminda Perlembagaan Persekutuan dengan menambah kawasan pilihan raya daripada 222 kepada 300 kerusi Parlimen adalah tidak benar, kata Fahmi Fahmi Fadzil.

Menteri Komunikasi dan Digital itu menjelaskan, ini kerana perkara tersebut adalah pertama kali sampai ke pengetahuannya walaupun berada dalam Jemaah Menteri di mana perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam Kabinet.

Beliau menegaskan, dakwaan yang dibuat Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih bertujuan untuk menakutkan pengundi yang terlibat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai pada Sabtu depan.

“Saya sebagai anggota Jemaah Menteri, ini kali pertama saya mendengar perkara ini. Saya tak pasti dia dapat maklumat ini dari mana.

“Kalau seorang ahli Jemaah Menteri pun belum dapat maklumat mengenai perkara ini, bagi saya ia satu angan-angan dari pihak beliau yabg cuma mahu menakut-nakutkan orang. Sebab kita sebut dalam konteks Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Kita Madani Aspirasi Malaysia 2023 Peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil bergambar kenangan bersama para hadirin pada Program Kita MADANI Aspirasi Malaysia 2023 Peringkat Wilayah Persekutuan di Pantai Eco Park, Kampung Pasir, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 03 SEPTEMBER 2023.

Semalam ketika berucap pada Ceramah Perdana PN di Kempas, Johor, Muhyiddin mendakwa Kerajaan Perpaduan akan meminda Perlembagaan Persekutuan dengan menambah kawasan pilihan raya daripada 222 kepada 300 kerusi jika memiliki majoriti dua pertiga di Parlimen.

Beliau berkata, berkata pindaan persempadanan semula kawasan pilihan raya itu hanya boleh dibuat jika Kerajaan Perpaduan mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Oleh itu katanya, adalah penting bagi pengundi Pulai menyekat langkah pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung persempadanan itu dengan memenangkan calon PN di Pulai, Zulkifli Jaafar pada 9 September nanti.

Mengulas lanjut, Fahmi turut menempelak Muhyiddin agar tidak ponteng menghadiri sidang Parlimen sekiranya mahu mendapatkan fakta tepat berhubung pertambahan kerusi itu.

Jelas beliau, ini kerana Muhyiddin sendiri boleh mengemukakan soalan berkaitan isu kepada perdana menteri pada sidang Parlimen nanti.

“Bagi saya, Muhyiddin tak perlu sebut pun. Kalau mahu, nanti waktu di sidang Parlimen, dia boleh datang tanya soalan kepada perdana menteri.

“Dan, dia juga boleh sediakan jawapan yang tuntas dan jelas, tidak mengelak di Parlimen. Saya ingatkan Muhyiddin jangan ponteng Parlimen. Sila tanya soalan, jangan malas, nanti culas,” katanya.

Isu dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat adalah tema kempen bagi PN dan PH pada PRK Parlimen Pulai yang memiliki 166,563 pengundi berdaftar.

Kerusi Parlimen Pulai kosong berikutan kematian penyandang, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, menyaksikan parti gabungan kerajaan kini memiliki 147 kerusi di Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berswafoto bersama tetamu yang hadir pada Program Kita MADANI Aspirasi Malaysia 2023 Peringkat Wilayah Persekutuan di Pantai Eco Park, Kampung Pasir, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 03 SEPTEMBER 2023.