Isham Jalil

KUALA LUMPUR – DAP perlu menolak konsep Malaysian Malaysia jika parti itu benar-benar menjunjung Perlembagaan.

Ia kerana semua rakyat Malaysia ingin hidup secara harmoni dan mengekalkan adat resam, budaya dan cara hidup etnik.

Beliau mendakwa, DAP memperjungkan Malaysian Malaysia bukan kerana mahu mengasimilasi kaum minoriti terutama Cina dan India kepada cara hidup dan adat resam kaum majoriti Melayu.

DAP juga memperjuangkan Malaysian Malaysia bukan kerana mahu menghapuskan sekolah-sekolah vernakular Cina dan Tamil.

Sebaliknya dasar itu diperjuangkan oleh DAP dan dahulunya oleh People’s Action Party (PAP) disebabkan hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu yang dilihat kononnya tidak ‘sama rata’.

“Oleh itu untuk ‘menyamaratakan’ Malaysia, mereka memperjuangkan ideologi Malaysian Malaysia ini dan ia bermakna ketiadaan hak-hak keistimewaan sesuatu bangsa.

“Oleh itu ideologi ‘kesamarataan’ Malaysian Malaysia ini bermaksud tidak akan ada hak-hak keistimewaan Melayu kerana pada pandangan mereka ini akan kononnya mewujudkan ketidaksamarataan,” katanya.

Menurut Isham, pemimpin DAP  yang berkata mereka menjunjung Perlembagaan dan pada masa yang sama memperjuangkan Malaysian Malaysia adalah suatu kenyataan yang bercanggah.

Beliau berkata, DAP tidak boleh menjunjung Perlembagaan tetapi pada masa yang sama memperjuangkan Malaysian Malaysia.

Ini kerana ideologi itu tidak selari dengan Perlembagaan yang melindungi hak keistimewaan orang-orang Melayu, agama Islam dan Raja-raja Melayu.

Lagipun dalam Malaysian Malaysia tidak ada keistimewaan tersebut sebagaimana tiada keistimewaan orang-orang Melayu dan tiada Raja-raja Melayu di Singapura.

Isham menegaskan, pejuang kemerdekaan dahulu telah menolak asimilasi kaum sebaliknya memilih untuk membina negara dengan integrasi kaum.

Melalui integrasi setiap kaum bebas mengekalkan cara hidup dan adat resam mereka sendiri tanpa diasimilasi dan hidup bersama dengan harmoni.

“Dahulu orang-orang Melayu dan UMNO telah bangkit menentang Malayan Union atau “Kesepaduan Malaya” dan kita mencapai kemerdekaan.

“Kemudian kita telah bangkit menentang asimilasi Malaysian Malaysia yang dibawa PAP walaupun itu menyebabkan perpisahan kita dengan Singapura.

“Kita memperjuangkan integrasi kaum, menjunjung Perlembagaan dan menolak asimilasi Malaysian Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menegaskan tiada keperluan untuk partinya menggugurkan slogan ‘Malaysian Malaysia’ seperti didesak sesetengah pihak.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mengatakan DAP perlu berubah menjadi parti yang sederhana supaya boleh terus disokong masyarakat Cina dan pengundi Melayu.-MalaysiaGazette