Gambar hiasan.

GUA MUSANG – Polis menahan dua lelaki disyaki terlibat dalam kejadian rusuhan bersenjata di sebuah kedai runcit di Bandar Utama, di sini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata kedua-duanya yang berusia lingkungan 20-an ditahan kira-kira 4.30 petang hari sama.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi, mangsa merupakan pekerja di kedai runcit berkenaan diserang sekumpulan lelaki ekoran berlaku perselisihan faham selepas memarahi suspek yang mencuri satu karton air minuman berkarbonat dari premis berkenaan.

“Akibat tidak berpuas hati kerana dimarahi mangsa, seramai enam rakan suspek datang menyerang mangsa di kedai tersebut dengan menggunakan parang, batang besi dan kayu panjang sehingga menyebabkan kecederaan ke atas mangsa.

“Selain itu, suspek juga telah merosakkan barangan kedai runcit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sik berkata, polis turut merampas senjata yang disyaki digunakan semasa kejadian termasuk sebilah golok, buku lima dan sebatang cota kayu.

Beliau berkata hasil saringan ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif terhadap dadah jenis benzo dan methamphetamine.

Katanya mereka disiasat lanjut mengikut Seksyen 379 dan 148 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan merusuh serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast