BERSIH, pengangkutan awam yang sistematik dan rakyat yang peramah. Itu antara keistimewaan Taiwan yang boleh dijadikan nilai tambah ketika anda sedang mempertimbangkan destinasi percutian pada masa akan datang.
Selain itu, sejak 2008, Taiwan sangat aktif menarik pelancong Islam ke sana dengan menyediakan pelbagai fasiliti seperti surau, tandas dilengkapi bidet di tempat-tempat awam tertentu. Malah restoran dan hotel mesra Muslim juga tidak sukar ditemui.
Jadi, apa pula tarikan pelancongan di sana?
Pulau dengan keluasan negeri Pahang itu memang sudah lama terkenal sebagai sebuah destinasi pelancongan yang penuh dengan pelbagai aktiviti menarik sesuai dengan pelbagai gologan, dari kanak-kanak sehingga orang tua—sama ada mahu ke muzium, OOTD di kafe-kafe hipster, bermain di taman tema atau sekadar bersantai di kaki gunung atau di tepi tasik.
Segala-galanya ada di sini.
Apabila berada di Taipei, jangan lepaskan peluang ke Menara Taipei 101, menara yang pernah diiktiraf sebagai menara tertinggi dunia sebelum diambil alih Burj Khalifah di Dubai.
Pengunjung boleh menikmati pemandangan bandaraya Taipei di platform tinjau (observation deck) sambil minum kopi selain menyaksikan pelbagai pameran menarik dan bergambar.
Bagi pengunjung beragama Islam, anda tidak perlu risau kerana surau disediakan di menara ini.
Jangan lupa untuk makan mi daging, makanan terkenal Taiwan yang enak dan seterusnya Chiang Kai Shek Memorial House untuk mendalami sejarah penubuhan wilayah pulau itu.
Selain Taipei, pelancong boleh ke Taichung, tanah asal ‘kelahiran’ teh boba yang terletak kira-kira 165 kilometer dari bandaraya Taipei.
Pelancong boleh belajar cara-cara membuat teh boba yang satu ketika dahulu menjadi kegilaan di Malaysia. Antara lokasi yang dicadangkan adalah di Chun Shui Tang Tea House, restoran pertama yang mencipta teh boba.
Menurut sejarahnya, teh boba dicipta oleh Pengurus Pembangunan Produk Chun Shui Tang Tea House, Lin Hsui Huilt.
Beliau yang ketika itu bosan semasa berada di dalam mesyuarat bertindak mencampurkan manisan Taiwan yang digelar fen yuan atau bebola yang diperbuat daripada ubi kayu ke dalam teh ais.
Minuman baharu itu turut dikongsi bersama rakan sekerja dan seterusnya menjadi produk paling di laris di restoran berkenaan.
Jangan tinggalkan Taichung selagi belum ber-OOTD di kebun bunga, Zhongshe Flower Market dan menikmati keindahan matahari terbenam di Gaomei Wetland.
Pastikan anda tidak lupa untuk ke LiPao Land yang lengkap dengan taman tema serta pusat membeli-belah pakaian berjenama.
Mendekati alam semulajadi bersama keluarga di Taiwan
Bagi yang meminati alam semulajadi, anda mungkin boleh mempertimbangkan Nantou County yang mana pelancong boleh menyusuri tasik Sun Moon Lake serta melawat QinJing Farm yang menyediakan pelbagai aktiviti bersama haiwan ternakan.
Sebagaimana promosi Biro Pelancongan Taiwan yang menekankan elemen vibrant, romantic dan trending, Taiwan sememangnya sebuah destinasi pelancongan yang lengkap untuk seisi keluarga.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN