Ekspo Halal Malaysia 2023 diharap menjadi platform untuk rakyat Malaysia memahami konsep halal dengan lebih luas.

KUALA LUMPUR – Ekspo Halal Malaysia 2023 yang bertujuan mengukuhkan pasaran pemain halal domestik ke peringkat antarabangsa berjaya menjana transaksi jualan sehingga RM4 juta.

Penganjur utamanya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Khairul Shahril Hamzah berkata, ekspo itu menyaksikan kira-kira 123 syarikat dan organisasi mempamerkan rangkaian luas produk halal dalam pelbagai sektor antaraanya makanan dan minuman, pendidikan, kosmetik dan fesyen kepada e-dagang, farmaseutikal, pelancongan, perbankan dan kewangan.

Pada masa sama, jelas beliau terdapat lebih 40 delegasi perniagaan dari Indonesia, Myanmar, Filipina dan Vietnam yang membuka peluang untuk lebih banyak kerjasama perniagaan antara usahawan tempatan dan luar negara.

“Inisiatif pemadanan perniagaan akan membuka pintu kepada peluang perniagaan yang lebih besar untuk usahawan tempatan dan akan membolehkan mereka lebih bersedia untuk pasaran antarabangsa.

“Sesi pemadanan pekerjaan juga diadakan yang bertujuan meningkatkan tahap ekonomi rakyat Malaysia dengan mewujudkan lebih banyak pekerjaan.

“Ini adalah satu lagi kelainan dalam usaha penganjur untuk memberi peluang kepada usahawan tempatan dalam mencari pekerja terbaik dan berbakat yanmg dapat membantu mengurangkan kadar pengangguran negara dan seterusnya graduan pasaran, terutamanya yang berkaitan dengan industri halal,” katanya.

Ekspo Halal Malaysia 2023 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines selama tiga hari berakhir semalam.

Ekspo itu turut menampilkan beberapa aktiviti sampingan termasuk pemadanan pekerjaan serta ceramah untuk membantu ahli perniagaan tempatan mengembangkan pasaran mereka ke luar negara, selain daripada mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, terutama untuk golongan belia.

Mengulas lanjut, Khairul Shahril berharap ekspo itu akan menjadi platform untuk rakyat Malaysia memahami konsep halal dengan lebih luas.

“Kami mengalu-alukan rakan bukan Islam untuk bekerjasama dengan pemain industri halal untuk peluang perniagaan yang lebih baik.

“Apatah lagi pensijilan halal untuk perniagaan dan produk oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia diiktiraf di seluruh dunia dan semua usahawan dan syarikat perlu harus memanfaatkan kekuatan ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast